KOTA BHARU: Kelab Bola Sepak Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) yang dijenamakan sebagai Kelantan The Real Warrior (Kelantan TRW) tidak mempunyai kaitan dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).
Bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, Kelantan TRW adalah sebuah kelab bola sepak yang 100 peratus profesional dan bukan lagi di bawah pentadbiran badan berkenaan.
“Bila ia sebuah kelab profesional, akan ada pemegang saham yang melaburkan duit kepada kelab dan pasukan. Ini bukan pasukan KAFA. Kalau pasukan KAFA, ia akan bermain di liga amatur atau semi pro.
“Ini sebuah kelab profesional yang ada pelabur akan ambil alih pegangan saham dan buat pelan pemasaran baharu. Sebab itu berlaku penjenamaan semula melibatkan penukaran nama kelab, logo dan sebagainya.
“Pemegang saham sudah bertukar. Anda ingat dia akan masuk dan kekalkan semua yang lama? Di mana-maNa syarikat, apabila pemegang saham baharu ambil alih, pasti akan ada langkah pembaharuan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Annuar berkata, penjenamaan semula adalah satu proses biasa namun masih ada sesetengah penyokong Kelantan yang masih selesa berada dalam kotak The Red Warriors (TRW). – UTUSAN










