MADRID: Pasukan kecemasan berjaya memindahkan kira-kira 600 penduduk kampung di barat Sepanyol selepas kebakaran hutan memusnahkan kawasan seluas 8,000 hektar berhampiran sempadan Portugal.
Pasukan perkhidmatan kecemasan berkata, angin kencang menyukarkan lagi usaha mengawal kebakaran di kawasan hutan tebal di Las Hurdes dan Sierra de Gata di wilayah Extremadura.
Penduduk dari tiga perkampungan iaitu Cadalso, Descargamaría dan Robledillo de Gata dipindahkan serta tiga jalan di kawasan itu terpaksa ditutup.
Menurut pihak berkuasa, lebih 260 anggota bomba dan 165 tentera dikerahkan dalam operasi memadamkan kebakaran itu.
Presiden wilayah Extremadura, Guillermo Fernandez Vara, berkata usaha mengawal kebakaran terjejas dengan tiupan angin kencang sehingga 60 kilometer sejam (km/j) dan landskap hutan.
“Pokok pain terbakar dan kon atau bunga pain pula memudahkan api merebak dengan cepat,” katanya.
Beliau juga percaya kebakaran itu dimulakan dengan sengaja.
“Sesiapa yang melakukannya tahu bagaimana dan bila bertindak demikian,” katanya.
Dilaporkan, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez membatalkan lawatan ke wilayah itu menjelang pilihan raya tempatan diadakan minggu depan. – REUTERS