Isteri hamil selepas suami jalani vasektomi, doktor disaman - Utusan Malaysia

Isteri hamil selepas suami jalani vasektomi, doktor disaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BOGOTA: Seorang doktor dari Colombia diperintahkan oleh mahkamah untuk membiayai keperluan kewangan anak pesakitnya gara-gara lelaki itu masih berupaya menghamilkan isterinya walaupun selepas menjalani pembedahan vasektomi.

Lelaki itu mengalami masalah pendengaran yang teruk di kedua-dua belah telinga, menyebabkan dia tidak mampu bekerja dan menjalani vasektomi pada tahun 2012 kerana tidak mahu mempunyai lebih ramai anak.

Doktor dari Medellin, Diego Naranjo dilaporkan memberi jaminan kepada lelaki itu bahawa prosedur vasektomi yang dilakukannya berjaya dan dia tidak perlu lagi menggunakan kaedah kontraseptif lain untuk mengelak kehamilan.

Bagaimanapun, lelaki itu menghamilkan isterinya setahun kemudian yang melahirkan seorang bayi perempuan, menyebabkan pasangan tersebut mengambil keputusan menyaman Naranjo baru-baru ini.

Ujian sperma turut menunjukkan prosedur vasektomi itu sebenarnya tidak berjaya, dan pasangan berkenaan mendakwa kesilapan tersebut memberi implikasi yang serius dari segi kewangan dan emosi mereka.

Hakim kemudian memutuskan Naranjo perlu membayar keluarga pesakit 80 gaji minimum semasa, atau 92 juta peso (RM91,935) sebagai ganti rugi moral, 60 juta peso (RM59,957) yuran guaman dan 143 juta peso (RM142,899) sebagai nafkah anak pasangan itu sehingga umurnya mencapai 18 tahun.

“Pesakit tidak disyorkan untuk terus menggunakan kaedah kontraseptif sehingga kehamilan tidak dijangka berlaku.

“Kesilapan itu juga terbukti memberi impak besar kepada keadaan ekonomi keluarga yang tidak menentu kerana bapa kini tidak boleh bekerja disebabkan masalah kesihatan yang dihadapi,” jelas mahkamah.

Anak perempuan pasangan itu kini berusia 10 tahun, namun tidak jelas mengapa mereka mengambil masa yang lama untuk membuat tindakan undang-undang terhadap doktor itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya