GAZA CITY: Sekurang-kurangnya 12 maut di Semenanjung Gaza akibat serangan udara yang dilancarkan oleh Israel terhadap kubu Hamas.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan, 12 orang yang maut itu merupakan rakyat Palestin, termasuk beberapa pejuang pergerakan Jihad Islam, wanita dan kanak-kanak.
Tentera Zionis mengumumkan pihaknya melancarkan serangan pada awal pagi semalam dengan menyasarkan kub kumpulan Jihad Islam, terutamanya tiga komander kanan kumpulan berkenaan.
Koresponden AFP yang berada di lokasi kejadian memaklumkan, bahagian atas sebuah bangunan terbakar selepas serangan udara dilancarkan.
Ambulans turut dikerah ke kawasan berkenaan bagi membawa mangsa yang cedera mendapatkan rawatan lanjut.
Dalam pada itu, sumber Jihad Islam memaklumkan, antara yang terbunuh adalah tiga komander kanannya, termasuk Setiausaha Majlis Tentera Briged al-Quds, Jihad Ghannam
dan isterinya.
Selain itu, anggota Majlis Tentera Briged al-Quds, Khalil al-Bahtini yang mentadbir sayap tentera wilayah utara Gaza dan ketua pasukan tentera, tareq Ezzedine, turut terbunuh dalam serangan terbabit.
Tentera Israel mendakwa Ghannam merupakan anggota paling kanan kumpulan itu dan bertanggungjawab menyelaras pertukaran senjata serta wang antara kumpulan Hamas dan Jihad Islam.
Bahtini pula berperanan melancarkan serangan terhadap Israel pada sebulan lalu, manakala Ezzedine dituduh merancang serta mengarahkan beberapa serangan terhadap orang awam Israel di Tebing Barat.
Video memaparkan letupan kuat yang menggegarkan Gaza kini tular dalam media sosial, menunjukkan kebakaran di beberapa bangunan serta kepulan asap menyelubungi ruang udara Gaza.
Serangan itu merupakan konflik terbaharu sejak lebih setahun lalu yang menyaksikan peningkatan keganasan tentera Israel yang menjajah Palestin.










