ROMPIN: Perjalanan cuti Hari Raya Aidilfitri sebuah keluarga di Pulau Tioman di sini, berakhir duka apabila tiga beranak maut selepas motosikal yang mereka naiki terbabas di Jalan Tekek–Juara, semalam.
Mangsa yang terkorban ialah Mohd. Sabri Ja’afar, 42, isterinya Siti Aisyah Suhaime, 32, serta anak mereka Muhammad Yusuf Abdurrahman, 5.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, insiden berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika keluarga itu dalam perjalanan pulang dari kawasan air terjun Kampung Juara menuju ke penginapan di Juara Mutiara Resort.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal Yamaha Eqo Avantiz yang ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan. Penunggang maut di tempat kejadian manakala dua pembonceng meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Tekek,” katanya di sini.
Sharif Shai berkata, siasatan awal mendapati laluan tersebut berbukit curam dan tidak rata, keadaan jalan kering dengan cuaca baik.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN










