KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara, di sini.
Solat sunat berkenaan turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis.
Sultan Ibrahim turut disertai barisan Kabinet antaranya Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.
Hadir sama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul; Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh serta para perwakilan asing.
Seri Paduka dan jemaah kemudian bertakdbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri yang dipimpin Pegawa Agama Istana Negara, Datuk Munir Md. Salleh.
Sultan Ibrahim berkenan mendengar khutbah bertajuk Syawal: Bangkit Daripada Ujian, Bersatu Dalam Keimanan yang disampaikan Munir.
Selesai khutbah, Seri Paduka berkenan bersalaman dengan para jemaah sebelum berangkat ke Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri. – UTUSAN










