ANKARA: Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan bertungkus lumus berkempen untuk mengekalkan jawatannya menerusi Pilihan Raya Umum (PRU) 14 Mei ini, walaupun imejnya sedikit terjejas akibat penyakit dihadapi selain persaingan sengit daripada pencabar-pencabar kuat parti pembangkang.
DIHIMPIT MASALAH KESIHATAN
Masalah kesihatan melibatkan pencernaan yang hadapinya dikhuatiri membuatkan masa depan Erdogan sebagai Presiden Turkiye semakin tidak menentu dan memaksa beliau berehat daripada aktiviti kempen selama tiga hari ketika pilihan raya hanya berbaki dua minggu lagi.
Pemimpin berusia 69 tahun itu dilihat berusaha keras untuk menaikkan semula momentumnya sebagai pemimpin disegani dunia yang dibina selama lebih dua dekad dengan ledakan ekonomi, transformasi sosial dan tindakan tegas terhadap perbezaan pendapat.
Semalam, beliau kembali berkempen di hadapan ratusan ribu penyokongnya yang menghadiri perhimpunan besar-besaran di dataran Ankara dengan harapan mengumpul kekuatan untuk menewaskan pencabarnya di kubu kuat mereka.
Selain Ankara, Erdogan turut kehilangan banyk undi di Istanbul dan Izmir yang merupakan tiga bandar dengan kuasa ekonomi terbesar di Türkiye.
“Adakah kita semua bersedia untuk kembali dengan kemenangan besar?
“Seperti yang anda tahu saya jatuh sakit baru-baru ini, dan dari setiap rumah orang yang berdoa untuk saya, saya akan cuba memastikan saya layak menerima doa-doa itu,” kata Erdogan sambil disambut sorakan penyokongnya.
SAINGAN SENGIT PEMBANGKANG
Pemimpin sekular, Kemal Kilicdaroglu dan pakatan pembangkang dari enam parti menimbulkan cabaran pilihan raya paling sukar bagi Erdogan sejak parti berteraskan Islam pemimpinnya mula berkuasa pada tahun 2002.
Kilicdaroglu, 74, dan sekutunya mengadakan kempen di seluruh negara dan acara harian yang diadakan pakatan itu turut mendapat liputan media pro-kerajaan yang menguasai Türkiye hari ini.
Bekas penjawat awam itu turut mengadakan perhimpunan besar-besaran di sepanjang tambak bandar Aegean yang dikuasai pembangkang di Izmir, di mana Erdogan menarik kumpulan penyokong yang lebih kecil pada perhimpunan Sabtu lalu di lokasi sama.
“Pilihan raya ini adalah pilihan raya untuk membina semula demokrasi kita.
“Kami akan membawa keamanan ke negara ini dan saya akan membawa persaudaraan ke negara ini,” katanya kepada orang ramai yang membanjiri kawasan itu.
Jumlah besar penyokong pada kempen tersebut menunjukkan minat besar rakyat Turkiye dalam pilihan raya yang dilihat bakal bertukar menjadi referendum mengenai pemerintahan Erdogan.
Parti pimpinan Erdogan juga kini disifatkan dalam bahaya dan mungkin bakal kehilangan kawalan Parlimen yang dipegangnya melalui pakatan dengan kumpulan ultra-nasionalis.
Pilihan raya kali ini dijangka berlangsung sengit dan undian mungkin berlanjutan ke peringkat penentuan pada 28 Mei ini.-AFP










