Delegasi Rohingya lawatan kemudahan baharu di Myanmar - Utusan Malaysia

Delegasi Rohingya lawatan kemudahan baharu di Myanmar

DELEGASI Rohingya menaiki bot dari jeti Teknaf untuk melawat perbandaran Maungdaw di daerah sempadan Myanmar.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEKNAF: Delegasi pelarian Rohingya tiba di Myanmar untuk melawat kemudahan baharu yang dibina bagi menghidupkan semula rancangan untuk mengembalikan minoriti yang teraniaya itu ke tanah air mereka.

Timbalan Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh, Mohammed Khalid Hossain berkata, seramai 20 delegasi Rohingya dan tujuh pegawai termasuk seorang pengawal sempadan melawat dua perkampungan contoh yang didirikan dalam projek perintis itu.

“Kami berlepas dari jeti Teknaf bersama 20 anggota Rohingya, termasuk tiga wanita untuk melihat kemudahan yang diwujudkan bagi tujuan penghantaran pulang ke Myanmar,” katanya.

Menurut beliau, kemudahan baharu itu termasuk pasar, hospital dan pusat pendaftaran untuk pelarian yang pulang.

Kata Mohammed Khalid, pihaknya menjangkakan penghantaran pulang akan bermula akhir bulan ini sebelum musim tengkujuh tahunan.

Ribuan pelarian Rohingya yang menghabiskan hampir enam tahun tinggal di kem daif dan  sesak di Bangladesh bagaimanapun secara konsisten meragui skim itu sejak diumumkan Mac lalu.

Menurut mereka, tiada satu pun pertanyaan tentang keselamatan atau pengiktirafan hak mereka untuk kewarganegaraan di Myanmar sudah dijawab.

Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berkata, pihaknya mengetahui tentang lawatan itu yang dibuat di bawah perjanjian dua hala antara Bangladesh dan Myanmar.

“UNHCR tidak terlibat dalam mengatur lawatan ini. Bagaimanapun, kami mengulangi bahawa setiap pelarian mempunyai hak yang tidak boleh dipisahkan untuk pulang ke negara asal mereka.

“Kepulangan pelarian mestilah secara sukarela dengan selamat dan bermaruah. Tiada pelarian harus dipaksa berbuat demikian,” kata jurucakap agensi itu, Regina De La Portilla.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya