China pasang 'navigational beacon' di Laut China Selatan - Utusan Malaysia

China pasang ‘navigational beacon’ di Laut China Selatan

GAMBAR menunjukkan kapal tentera maritim China berlabuh di atas beting di Pulau Spratly di Laut China Selatan. -AFP

BEIJING: China memasang tiga mercu suar pemandu arah atau ‘navigational beacon’ di sekitar kepulauan Spratly yang dipertikaikan di Laut China Selatan, susulan penempatan penanda seumpamanya oleh Filipina awal bulan ini.

Langkah itu dibuat ketika kedua-dua pihak cuba mengukuhkan tuntutan mereka ke atas kawasan itu.

Kementerian Pengangkutan China pada Rabu berkata, pusat keselamatan maritim China di Laut China Selatan sudah meletakkan tiga mercu suar berhampiran Terumbu Irving, Terumbu Whitson dan Terumbu Gaven di kepulauan Spratly, yang merangkumi banyak pulau kecil dan terumbu serta beting.

“Penempatan mercu suar itu adalah untuk memastikan keselamatan memandu arah dan operasi kapal,” katanya.

Awal bulan ini, Filipina turut meletakkan pelampung pemandu arah yang membawa bendera negara dalam zon ekonomi eksklusifnya, termasuk di Terumbu Whitsun serta lokasi di mana ratusan kapal China berlabuh pada 2021.

Ketegangan semakin memuncak baru-baru ini di bahagian dipertikaikan di Laut China Selatan, salah satu laluan perdagangan paling penting di dunia.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan sebagai wilayahnya, selain tuntutan lain oleh Vietnam, Taiwan, Brunei, Malaysia dan Filipina. – REUTERS

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN