China hantar orang awam pertama ke angkasa lepas esok - Utusan Malaysia

China hantar orang awam pertama ke angkasa lepas esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIUQUAN: China akan menghantar orang awam pertama ke angkasa lepas esok dalam misi dengan kru ke stesen angkasa Tiangong, demikian menurut China Manned Space Agency (CMSA), sekali gus meneruskan penerokaan angkasa lepasnya.

Ekonomi kedua terbesar dunia itu melabur berbilion dolar dalam program angkasa lepas yang dikendalikan tenteranya, cuba mengejar Amerika Syarikat (AS) dan Russia selepas lewat bertahun-tahun untuk menyamai pencapaian mereka.

Sehingga kini, semua angkasawan China yang dihantar ke angkasa lepas ialah sebahagian daripada Tentera Pembebasan Rakyat (PLA).

“Pakar muatan, Gui Haichao, ialah seorang profesor di Universiti Aeronautik dan Astronautik Beijing,” kata jurucakap CMSA, Lin Xiqiang, kepada media.

Haichao akan ‘bertanggungjawab terutama bagi operasi atas orbit muatan eksperimen sains angkasa’, kata Xiqiang.

Media kerajaan melaporkan, komander misi ialah Jing Haipeng, yang menyertai misi keempatnya ke angkasa lepas dan anak kapal ketiga ialah jurutera, Zhu Yangzhu.

CMSA berkata, Shenzhou-16 akan berlepas dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China pada pukul 9.31 pagi (0131 GMT) esok.

Misi penerbangan itu adalah yang kedua dilaksanakan di bawah program angkasa lepas kendalian China pada tahun ini, dengan kru akan berada di orbit selama lima bulan.

Pelancaran itu menggunakan roket pengangkut Long March-2F yang akan diisi dengan cecair pemacu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN