PARIS: Sekumpulan lelaki bersenjata merompak barang kemas bernilai jutaan pound di sebuah butik Bvlgari yang terletak bersebelahan bangunan Kementerian Kehakiman di Paris.
Lapor Daily Mail, ia merupakan kejadian rompakan yang kedua berlaku dalam tempoh dua tahun.
Ketika kejadian, tiga lelaki tiba di kedai barang kemas mewah itu di Place Vendome dan melakukan rompakan di siang hari pada petang Sabtu lalu, sambil disaksikan puluhan pelancong dan pejalan kaki sedang melalui kawasan itu.
Menurut sumber penyiasat, dua perompak sedang memegang senapang manakala seorang lagi tertumpu mengisi barang kemas dicuri ke dalam beg.
“Mereka memukul seorang pengawal keselamatan di bahagian kepalanya sehingga menyebabkannya cedera parah.
“Barang kemas dan jam tangan mewah bernilai jutaan pound dirompak dalam kejadian berlaku sekitar pukul 1.45 petang (waktu tempatan). Malah, ia hanya mengambil masa beberapa minit.
“Perompak itu kemudian kembali menunggang dua motosikal mereka dan dengan selamba melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya.
Rakaman video rompakan tular dalam media sosial menunjukkan lelaki bersenjata tersebut mengenakan topi keledar dan balaclava hitam ketika merompak butik mewah itu.
Sebelum ini, butik Bvlgari yang sama menjadi sasaran sekumpulan perompak bersenjata pada September 2021.
Dalam kejadian itu, perompak berjaya melarikan barang kemas bernilai kira-kira 10 juta pound (RM56.01 juta) pada waktu siang.
Bvlgari, butik mewah Itali kini dimiliki oleh konglomerat barangan mewah Perancis LVMH yang dikendalikan lelaki terkaya dunia, Bernard Arnault.










