JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) menegaskan peranan Indonesia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 pada tahun ini akan terus mendorong pelaksanaan lima aspek kesepakatan atau ‘Five-Point-Consensus’.
Katanya, satu daripada aspek tersebut adalah berkaitan dengan bantuan kemanusiaan, selaras dengan konflik yang berlaku di Myanmar.
Jelas Jokowi, pelbagai usaha dilakukan oleh negara ini berhubung misi kemanusiaan, termasuk kemudahan Pusat Penyelaras ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan mengenai Pengurusan Bencana (Pusat AHA).
“Kelmarin, konvoi ASEAN dalam perjalanan menyerahkan bantuan kemanusiaan ke negeri Shan di Myanmar.
“Namun, bantuan itu tidak dapat disalurkan berikutan berlaku serangan terhadap konvoi berkenaan,” katanya di Manggarai Barat, Nusa Tenggara Timur.
Sehubungan itu, Jokowi menekankan bahawa semua keganasan yang berlaku di negara itu perlu dihentikan segera.
Katanya, serangan itu tidak akan menghentikan usaha ASEAN menanam keamanan di rantau ini.
“Hentikan guna kekerasan kerana masyarakat yang akan menjadi mangsa dan tiada satu pihak pun yang akan menang menerusi keganasan.
“Saya sarankan adalah penting untuk semua pihak duduk bersama, lakukan dialog bagi cari penyelesaian terbaik,” ujarnya.










