NEW DELHI: Seorang wanita warga asing di India diserang seekor gajah selepas mengusik haiwan itu dengan pisang.
Lapor Daily Mail, wanita itu sengaja mengumpan sebiji pisang untuk menguji gajah tersebut sebelum menarik balik tepat ketika haiwan berkenaan membuka mulutnya.
Mamalia tersebut bagaimanapun kelihatan marah dan terus menyerang wanita itu sebelum menanduk dengan sumbunya.
Wanita berkenaan dilihat terpelanting ke udara menyebabkan individu yang merakam video tersebut berundur ketakutan dan menjatuhkan kamera.
Rakaman pendek kejadian itu dikongsi di media sosial oleh seorang pegawai Perkhidmatan Hutan India, Susanta Nanda yang sering memuat naik kandungan menarik mengenai hidupan liar dalam talian.
“Anda tidak boleh menipu seekor gajah walaupun haiwan itu sudah dijinakkan. Gajah adalah satu daripada haiwan yang paling bijak untuk berada dalam kurungan,” tulis Nanda pada kapsyen video tersebut.
Video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada warga net dan ramai yang bimbang tentang keadaan wanita itu.
“Semoga dia terselamat daripada serangan itu. Tetapi video ini memberi peringatan bahawa kita harus menghormati setiap hidupan liar dan jangan berani bermain-main dengan mereka,” tulis warga net.