Saya mangsa campur tangan pilihan raya –Donald Trump

Saya mangsa campur tangan pilihan raya –Donald Trump

DONALD Trump berucap semasa acara di Kelab Mar-a-Lago di West Palm Beach, Florida, semalam. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FLORIDA: Bekas Presiden Ame­rika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa dirinya menjadi mangsa campur tangan dalam pilihan raya negara itu.

Malah, beliau dihadapkan ke mahkamah atas 34 pertuduhan jenayah, semalam.

Sehubungan itu, beliau membidas pendakwa raya di New York, Alvin Bragg kerana membuat pertuduhan berkenaan terhadapnya.

“Saya tidak pernah menyangka perkara sebegini akan berlaku di Amerika Syarikat.

“Satu-satunya jenayah yang saya lakukan ialah tanpa gentar mempertahankan negara kita daripada mereka yang mahu menghancurkannya,” dakwa Trump ketika berucap di hadapan penyokongnya di Mar-a-Lago, Palm Beach, Florida, malam semalam.

Terdahulu, Trump mengaku tidak bersalah di Mahkamah Manhattan atas 34 pertuduhan jenayah memalsukan rekod perniagaan.

Ia berkait dakwaan beliau mendalangi pemberian wang sogokan kepada dua wanita sebelum pilihan raya AS pada 2016 untuk menyekat penerbitan mengenai hubungan seksual mereka dengannya.

Trump menuduh Bragg ber­tindak terhadapnya sebelum pendakwa raya itu mengetahui apa-apa mengenai beliau selain mendakwa hakim dalam kes berkenaan, Juan Merchan adalah hakim yang membencinya.

Trump turut mengimbau pelbagai kes perundangan dihadapinya termasuk pengendalian dokumen sulit yang dibawa ke Mar-a-Lago apabila beliau me­ninggalkan White House awal 2021 serta dakwaan campur tangan dalam pilihan raya yang dihadapinya di Georgia susulan pilihan raya 2020.

“Kes dokumen itu sedang dikendalikan oleh ‘peguam khas gila’…” dakwa Trump, merujuk kepada pendakwa raya, Jack Smith.

Pelbagai tindakan undang-undang itu dilihat menjejaskan Trump menjelang pemilihan calon parti Republikan untuk Pilihan Raya Presiden AS pada 2024.

“Kini, berlaku campur tangan dalam pilihan raya secara besar-besaran pada skala yang tidak pernah dilihat sebelum ini,” dakwa beliau. –REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN