Russia tempatkan senjata nuklear berhampiran sempadan Belarus

Russia tempatkan senjata nuklear berhampiran sempadan Belarus

PELURU berpandu balistik antara benua berkeupayaan nuklear milik Russia dipamerkan dalam perarakan tentera di Moscow. - AGENSI    
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia akan menempatkan senjata nuklear taktikalnya berhampiran sempadan barat Belarus, kata wakil delegasi Moscow ke Minsk.

Tindakan menempatkan senjata nuklear berhampiran pintu masuk negara-negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dijangka meningkatkan lagi ketegangan antara Russia dengan Barat. 

Bulan lalu, Presiden Vladimir Putin menegaskan Russia akan menempatkan senjata nuklear taktikal di Belarus.

Ia dilihat sebagai salah satu isyarat nuklear Russia yang paling ketara sejak permulaan pencerobohan di Ukraine selama 13 bulan lalu.

Kedua-dua negara jiran Slavic itu secara rasminya merupakan sebahagian `negara kesatuan’ dan terlibat dalam rundingan selama beberapa tahun untuk melanjutkan usaha tersebut.  

Duta Russia ke Belarus, Boris Gryzlov berkata, senjata tersebut akan ditempatkan di sempadan barat negara kesatuan, sekaligus meningkatkan kemungkinan untuk menjamin keselamatan.

“Ia akan dilaksanakan walaupun menerima bantahan dari Eropah dan Amerika Syarikat (AS),” katanya dalam satu wawancara bersama televisyen tempatan Belarus.

Gryzlov tidak memperincikan butiran lanjut mengenai di mana senjata nuklear itu akan ditempatkan.

Namun, beliau mengesahkan sebuah stor penyimpanan akan disiapkan pada 1 Julai depan, sepertimana diarahkan oleh Putin, dan senjata itu kemudian akan ditempatkan di barat Belarus. 

Belarus bersempadan di bahagian utara dengan Lithuania dan Latvia serta di sebelah barat dengan Poland. 

Negara itu merupakan sebahagian sayap timur NATO yang diperkukuhkan dengan tentera dan senjata tambahan susulan insiden pencerobohan Russia di Ukraine.

AS dan sekutu Ukraine yang lain pernah menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan Russia menempatkan senjata nuklear taktikal di Belarus.

Malah, Presiden AS, Joe Biden menyifatkan perkara itu amat membimbangkan.

Minggu lalu, Presiden Belarus, Alexander Lukashenko berkata, kerajaannya akan membenarkan Russia menempatkan peluru berpandu nuklear antara benua di negaranya  sekiranya perlu. – REUTERS    

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN