Russia lancar serangan peluru berpandu baharu di Ukraine

Russia lancar serangan peluru berpandu baharu di Ukraine 

PASUKAN penyelamat berusaha mencari mangsa dalam runtuhan bangunan kediaman yang musnah dalam serangan peluru berpandu di tengah bandar Uman. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UMAN: Russia melancarkan serangan peluru berpandu di seluruh bandar Ukraine, mengakibatkan sekurang-kurangnya 26 orang awam terbunuh.

Ia merupakan serangan udara berskala besar yang terbaharu dalam tempoh hampir dua bulan.

Serangan itu berlaku ketika tentera Ukraine mahu melancarkan serangan balas menggunakan aset ketenteraan baharu termasuk ratusan kereta kebal dan kenderaan berperisai untuk merampas semula wilayah yang diduduki.

Menurut pihak berkuasa, sekurang-kurangnya 24 orang awam termasuk lima kanak-kanak terbunuh selepas peluru berpandu membedil sebuah bangunan apartmen di tengah bandar Uman.

Dilaporkan, kira-kira 109 penduduk tinggal di bahagian blok apartmen yang terkena bedilan peluru berpandu, selain 27 rumah pangsa musnah sepenuhnya dalam serangan tersebut.       

Beberapa gambar menunjukkan pasukan bomba berusaha memadamkan kebakaran pangsapuri yang dibedil peluru berpandu Russia, manakala pekerja penyelamat pula memanjat timbunan runtuhan bangunan untuk mencari mangsa yang terselamat. 

Di bandar Dnipro, gabenor wilayah Serhiy Lysak berkata, peluru berpandu disasarkan di sebuah rumah di bandar itu mengakibatkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun dan seorang wanita berusia 31 tahun terbunuh.   

Rakaman video disiarkan oleh pihak berkuasa memaparkan tahap kemusnahan teruk termasuk kelihatan lubang terbentuk selepas sebuah peluru berpandu terhempas melalui bangunan pangsapuri.

Moscow mendakwa pihaknya menyasarkan lokasi tentera simpanan Ukraine dan berjaya menyerang dengan menghalang mereka daripada sampai ke hadapan.

Ibu kota Kyiv juga digemparkan dengan beberapa letupan pada awal pagi selain letupan turut berlaku di kawasan Kremenchuk, Poltava dan Mykolaiv. 

Pegawai memaklumkan dua orang cedera di bandar Ukrayinka di selatan Kyiv.    

Di Donetsk, bandar timur dikawal oleh proksi Russia sejak 2014, seorang pegawai mendakwa tujuh orang termasuk seorang kanak-kanak terbunuh dalam serangan Ukraine yang terkena sebuah bas mini. 

Sementara itu, tentera Ukraine berkata, unit antipesawat berjaya memusnahkan 21 daripada 23 peluru berpandu yang dilancarkan oleh Russia. – REUTERS  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN