HARTFORD: Lelaki dari Connecticut digelar sebagai ‘Raja Crocs’ kerana memiliki lebih 2,000 pasang jenama kasut jenis getah terkemuka yang menjadi kegemaran ramai dan kini sedang berusaha mendapatkan pengiktirafan Rekod Dunia Guinness dengan koleksinya itu.
Doogie Lish Sandtiger, 32, berkata, mulanya dia tidak menggemari rekaan kasut getah itu namun persepsinya mula berubah selepas dia mendapat sepasang kasut itu pada usia 16 tahun.
“Terdapat banyak perkara yang boleh saya katakan tentang kasut ini. Ia sangat bergaya, menyeronokkan, selesa dan bagi saya, paling istimewa ialah pengalaman memakai setiap pasang kasut ini seakan mencorak kanvas kosong,” katanya kepada akhbar CT Insider.
Koleksi Sandtiger kini menampilkan 2,127 pasang kasut Crocs pelbagai jenis dan dia kerap mengemas kini kiraan terbaharu kasut miliknya di halaman Instagram.
Koleksi yang merangkumi rekaan kolaborasi selebriti dan kasut promosi seperti KFC Crocs dengan wangian ayam goreng menarik perhatian media dan Sandtiger pernah muncul dalam siri realiti Vice TV bertajuk Most Expensivist, yang dihoskan oleh penyanyi rap, 2 Chainz.
“Bagi saya setiap hari adalah hari baharu untuk menukar gaya dan melukis kanvas seperti yang anda mahu, mengenakan padanan Crocs seperti yang anda mahu.
“Anda boleh menjadikannya secantik yang anda mahukan dan ia adalah karya seni,” jelasnya.
Sandtiger berkata, dia berharap koleksinya akan memperoleh Rekod Dunia Guinness bagi kategori koleksi terbesar Crocs.
“Saya juga berharap suatu hari nanti saya dapat mempamerkan koleksi-koleksi unik ini dalam ‘Crocseum’,” tambahnya.