PETALING JAYA: Polis sedang melengkapkan kertas siasatan membabitkan penahanan empat individu termasuk aktivis Tamim Dahri berkaitan kejadian merobohkan sebuah kuil di Rawang, dekat sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, keempat-empat individu itu yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan ekoran perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
“Ya (dibebaskan), perintah mahkamah tinggi. Kamk sedang melengkapkan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan perintah reman dikeluarkan Mahkamah Majistret sama terhadap aktivis, Tamim Dahri dan tiga rakannya, berhubung isu perobohan kuil tidak sah di Taman Rawang Perdana.
Menerusi kenyataan di Facebook, peguam, Aidil Khalid dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah memanggil kes berkenaan untuk semakan semula.
“Mahkamah memerintahkan mereka dilepaskan serta-merta,” katanya
Sebelum ini, Tamim bersama tiga rakannya ditahan bagi membantu siasatan berhubung kerja-kerja pembersihan tanah yang dijalankan awal pagi semalam.
Shazeli dilaporkan berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat, Seksyen 504 kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat mencetuskan pecah keamanan serta Seksyen 295 kerana mencemarkan tempat ibadat.
Katanya, tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang individu yang mendakwa kuil telah dirobohkan tanpa perbincangan dan pemberitahuan kepada pihak berkuasa tempatan dan pengadu.
Kawasan tersebut merupakan tanah milik sebuah yayasan yang telah diceroboh sejak 2018 dan perobohan dibuat bagi memberi laluan kepada projek pembinaan rumah asnaf.- UTUSAN










