SACRAMENTO: Seorang wanita di Amerika Syarikat (AS) dituduh memasukkan cecair pembersih rumah ke dalam minuman suaminya dan didakwa berbuat demikian kerana mahu membunuh semut.
Pakar dermatologi, Yue ‘Emily’ Yu dari South Carolina didakwa atas tiga pertuduhan jenayah meracun dan satu pertuduhan keganasan rumah tangga selepas dia disyaki memasukkan bahan kimia itu ke dalam minuman Dr. Jack Chen.
Lapor Mirror, Jack memasang kamera tersembunyi di dapur rumah mereka selepas mengalami kecederaan organ dalaman, di tengah-tengah kebimbangan kemungkinan diracun oleh isterinya.
Setelah melihat semula rakaman kamera itu, Jack mendapati isterinya sedang menambahkan bahan kimia tersebut ke dalam minumannya.
Semasa sesi perbicaraan mahkamah, peguam mewakili suspek, David Dworakowsk mendakwa rumah pasangan itu diserang semut dan Yue hanya cuba membunuh serangga tersebut bukan suaminya.
“Pendakwa raya membuat kenyataan seolah-olah rakaman kamera Yue adalah bukti konklusif.
“Tetapi, realitinya dia hanya cuba menarik semut ke dalam cawan minuman itu agar serangga tersebut dapat dibunuh,” katanya.
Menurut Dworakowsk, anak guamnya mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan berkenaan.
Dalam dokumen mahkamah yang difailkan, Jack mendakwa rakaman kamera menunjukkan isterinya sedang memasukkan cecair pembersih longkang, Drano ke dalam minumannya.
Jelasnya, perbuatan Yue menambahkan bahan kimia itu ke dalam minumannya dirakam sebanyak tiga kali.
“Saya mempunyai video Yue sedang memasukkan cecair Drano yang diambil dari bawah sinki dapur kami, dan bertindak menuangnya ke dalam air limau,” katanya.
Jack menghantar sampel minuman itu kepada pihak berkuasa yang kemudian mengesahkannya sama dengan cecair pembersih rumah.
Yue ditahan pada 18 Ogos selepas suaminya mula mengesyaki perbuatan isterinya pada April lalu.
Wanita itu kini berdepan hukuman penjara lapan tahun sekiranya didapati bersalah meracuni suaminya dengan cecair pembersih rumah.