SEREMBAN: Kerajaan masih belum membuat keputusan untuk mewajibkan pemasangan kamera papan kemuka (dashcam) di semua kenderaan ketika ini.
Sebaliknya pendekatan advokasi masih dilakukan bagi menggalakkan pengguna kenderaan memasangnya secara sukarela.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mewajibkan pemasangannya pada masa hadapan.
Namun katanya, keputusan itu tidak boleh dibuat secara terburu-buru tanpa mempertimbangkan pelbagai aspek termasuk menerusi penilaian menyeluruh berkaitan keberkesanan dan implikasi kos kepada rakyat.
“Bagi saya, setakat ini kita masih di peringkat advokasi, maksudnya kita sedang menasihatkan orang ramai tentang kebaikkan memasang dashcam untuk keselamatan dan perlindungan diri serta bukti apabila berlaku apa-apa kemalangan.
“Setiap dasar baharu sudah tentu ada implikasi, termasuk tambahan kos. Apabila ada tambahan kos, kita perlu ambil kira sama ada masyarakat boleh menerimanya atau tidak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Hi-Tea Menteri Pengangkutan Malaysia bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Parlimen Seremban dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah di Sikamat di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anthony Lole berkata, setakat ini semakin ramai pemilik kenderaan mempunyai kesedaran untuk memasang dashcam secara sukarela, khususnya bagi tujuan keselamatan.
“Di peringkat kementerian ada membuat perbincangan tetapi belum ada keputusan. Sebab perkara seperti ini dia mesti mengambil kira pelbagai pertimbangan terlebih dahulu,” katanya.
Kelmarin, media melaporkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, sedang mempertimbangkan cadangan supaya penggunaan dashcam diwajibkan kepada semua pengguna jalan raya sebagai salah satu usaha memperkukuh penguatkuasaan dan keselamatan lalu lintas.-UTUSAN










