Laporan berita antarabangsa cuba cemar reputasi SPRM

Laporan berita antarabangsa cuba cemar reputasi SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Laporan diterbitkan sebuah media antarabangsa yang mengandungi dakwaan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini  adalah berniat jahat untukmencemarkan nama baik dan reputasi agensi tersebut.

SPRM dalam kenyataan berkata, sebarang dakwaan atau andaian bahawa siasatan SPRM dipengaruhi oleh kepentingan peribadi juga adalah ditolak.

Katanya, semua siasatan yang dijalankan oleh SPRM dilaksanakan dengan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang, berpandukan kepada bukti serta dijalankan secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Suruhanjaya ini tidak akan mengulas dakwaan yang berunsur tohmahan dan bersifat spekulatif serta melibatkan perkara yang masih dalam pertimbangan mahkamah (sub judice) atau tertakluk kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Sebarang keputusan berkaitan pendakwaan adalah tertakluk kepada budi bicara pendakwaan dan kuasa kehakiman oleh Jabatan Peguam Negara serta sistem kehakiman, selaras dengan kerangka perundangan Malaysia yang berasaskan prinsip pengasingan kuasa,” katanya. 

Menurutnya, sebagai sebuah agensi penguatkuasaan, fungsi dan peranan SPRM dikuatkuasakan oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, serta tertakluk kepada pemantauan oleh lima organisasi pemantau bebas.

Oleh itu, sebarang dakwaan salah laku tidak boleh diadili melalui naratif media sebaliknya dinilai melalui sistem perundangan dan proses keadilan yang telah ditetapkan.

“SPRM menegaskan bahawa mana-mana individu atau pihak yang mempunyai bukti yang berasas dan sahih berkaitan rasuah atau salah laku adalah digesa untuk menyalurkan maklumat tersebut melalui saluran yang sewajarnya,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN