DUMAI: Ratusan penduduk yang sedang bertadarus di masjid panik selepas dikejutkan dengan bunyi letupan kuat dari loji penapisan minyak Pertamina Dumai di Riau malam kelmarin.
Lapor Kompas.com, penduduk tempatan berlari keluar selepas letupan yang menyebabkan kebakaran di loji penapisan minyak itu turut menggegarkan rumah dan kawasan sekitar.
Salah seorang penduduk, dikenali sebagai Feri berkata, ketika letupan berlaku, ramai penduduk sedang mengaji al-Quran di Masjid Al Qiyam di Jalan Tanjung Raya yang terletak di belakang loji penapisan minyak tersebut selepas selesai menunaikan solat tarawih.
“Jemaah terkejut kerana gegarannya sangat kuat, ditambah pula bunyi ledakan kedengaran sangat dekat. Di luar masjid kami lihat sudah ramai penduduk yang lari ke jalan di hadapan rumah mereka. Suasana panik ketika itu apabila melihat api marak dari dalam loji minyak itu,” jelasnya.
Ekoran letupan itu, bahagian dinding Masjid Al Qiyam retak dan beberapa kepingan siling tercabut sementara cermin tingkap beberapa buah rumah turut pecah berselerak di atas lantai sehingga ke jalan berhampiran.
Ketua Kampung Tanjung Palas Untung Efendi berkata, penduduk masih terkejut dan trauma dengan kejadian itu dan beliau sempat mengiringi Datuk Bandar Dumai, Paisal meninjau lokasi letupan.
“Menurut siasatan awal, letupan berlaku akibat masalah operasi di kawasan pemampat gas.
“Keadaan di loji penapisan itu kini selamat. Api yang marak berjaya dipadamkan. Syarikat Pertamina juga sudah memaklumkan akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kerosakan rumah penduduk dan masjid tersebut,” jelas Untung.
Kejadian itu turut mengakibatkan lima pekerja cedera sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital berhampiran namun kesemua mereka dilaporkan stabil.