Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand sambut Aidilfitri Sabtu - Utusan Malaysia

Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand sambut Aidilfitri Sabtu

Anakanda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz (tengah) bersama Amran (kanan) turut melakukan cerapan anak bulan Syawal di Balai Cerap Telok Kemang, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Umat Islam di Singapura, Indonesia dan Thailand akan menyambut Aidilfitri pada Sabtu ini.

Keputusan itu sejajar dengan pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di Malaysia.

Menurut laporan yang dipetik dari Bernama, di Singapura, Muftinya, Dr. Nazirudin Mohd Nasir, dalam pengumuman di laman sesawang Majlis Ugama Islam (MUIS) hari ini berkata, mengikut pengiraan astronomi, hilal bagi bulan Syawal tidak muncul pada petang ini selepas matahari terbenam.

Ini menandakan esok akan berakhir 30 hari Ramadan.

“Oleh itu, sukacita dimaklumkan bahawa hari pertama Syawal atau Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 1444 Hijrah  jatuh pada Sabtu, 22 April 2023, ” ujarnya.

Beliau juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidilfitri” kepada semua umat Islam di Singapura.

“Saya mohon ampun atas segala kekurangan. Semoga masyarakat Islam kita terus bersatu dalam mengharungi segala cabaran dengan penuh belas kasihan dan empati,” katanya.

Di Indonesia, Menteri Hal Ehwal Agama Yaqut Cholil Qoumas berkata, Aidilfitri akan disambut pada Sabtu kerana anak bulan Syawal pada Maghrib di Indonesia tidak memenuhi kriteria.

Menteri itu merujuk kepada kriteria yang ditetapkan oleh Menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) berdasarkan perjanjian pada 2021.

Susulan pengumuman itu, Ramadan akan berlangsung sehari lagi di negara majoriti penduduk Islam paling ramai penduduk dan Syawal disambut sehari selepas itu.

Di Thailand, Syeikhul Islam Thailand, Aziz Phitakkumpon turut mengisytiharkan Sabtu sebagai hari pertama Aidilfitri di negara itu, selepas disahkan bahawa anak bulan tidak kelihatan.

“Oleh itu, saya mengisytiharkan Sabtu sebagai hari pertama Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN