NEW YORK: Mahkamah Rayuan di Washington DC semalam enggan memberi imuniti kepada bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi tuntutan pertama daripada dua saman fitnah yang difailkan penulis, E Jean Carroll.
Lapor Reuters, Caroll memfailkan dua saman terhadap Trump yang didakwa merogolnya hampir tiga dekad lalu.
Pihak mahkamah tempatan tertinggi di daerah itu menjelaskan, ia tidak mempunyai fakta mencukupi untuk memutuskan sama ada Trump berhak mendapat perlindungan kekebalan itu selepas Trump pada Jun 2019 menuduh Carroll yang juga bekas penulis kolum majalah Elle, menipu berhubung dakwaan rogol terbabit.
Sebarang keputusan bahawa Trump bertindak sebagai Presiden dan bukan atas kapasiti peribadi ketika itu akan memberi imuniti kepadanya serta mengetepikan tuntutan mahkamah yang pertama oleh Carroll kerana kerajaan boleh mengganti diri sebagai defendan dan kerajaan pula tidak boleh disaman fitnah.
Mahkamah terbabit kemudian memulangkan kes berkenaan kepada Mahkamah Rayuan Sirkit AS Ke-2 di Manhattan yang sebelum ini meminta panduan mahkamah di Washington itu berhubung undang-undang tempatan, September tahun lalu.
Peguam Carroll tiada memberi komen berhubung perkara itu, setakat ini manakala peguam mewakili Trump, Alina Habba dalam satu e-mel pula berkata, pihaknya yakin mahkamah Sirkit Ke-2 akan membuat keputusan yang memihak kepada Trump dan menolak kes Carroll.
Keputusan semalam bagaimanapun tidak memberi kesan terhadap saman fitnah kedua yang difailkan Carroll, di mana perbicaraannya dijadualkan berlangsung di Mahkamah Persekutuan Manhattan pada 25 April ini.