BOGOTA: Angka kematian akibat letupan yang berlaku di sebuah lombong arang batu di Colombia meningkat kepada tujuh orang.
Menurut pihak berkuasa, pasukan penyelamat menemukan empat lagi mayat semalam.
Angka kematian baharu itu diberikan oleh ketua jabatan bomba di wilayah tengah Cundinamarca.
Letupan itu memusnahkan lombong di perbandaran Cucunuba, kira-kira 90 kilometer (km) di utara ibu negara Bogota.
Pihak berkuasa mengesyaki paip gas di lombong tersebut meletup.
Pasukan penyelamat pada mulanya menemukan tiga mayat dan melaporkan empat pekerja hilang.
Bagaimanapun, katanya, empat mayat yang merupakan pekerja lombong itu akhirnya ditemukan semalam.
Rakaman video yang tular dalam media sosial menunjukkan kepulan asap keluar dari lubang benam pada waktu tengah malam ketika orang awam berada di lokasi kejadian.
Colombia merupakan pengeluar arang batu terbesar di Amerika Latin. – AFP