Duduk dahulu di kampung - Utusan Malaysia

Duduk dahulu di kampung

KESESAKAN lalu lintas di kebanyakan laluan utama di Indonesia mula sesak sejak Isnin lalu.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) meminta penduduk untuk menangguhkan perjalanan pulang ke kota dari kampung halaman sepanjang tempoh yang diramalkan menjadi kemuncak aliran trafik Aidilfitri tahun ini.

Jokowi berkata, usaha itu boleh mengurangkan kesesakan di jalan raya dan kawasan stesen perhentian pengangkutan awam.

“Pemerintah mengajak masyarakat yang tidak mempunyai keperluan mendesak untuk menghindari kemuncak aliran pulang dengan menunda atau menangguhkan jadual pulang sehingga 26 April ini,” katanya dalam video yang disiarkan di saluran YouTube Sekretariat Kabinet semalam.

Jokowi berkata, Kementerian Pengangkutan meramalkan sekurang-kurangnya 203,000 kenderaan sehari akan melalui tol Trans-Jawa dari arah timur.

“Ratusan ribu kenderaan dari arah Bandung juga dijangka melalui Tol Jakarta-Cikampek.

“Sudah tentu ini adalah jumlah yang sangat besar berbanding pada hari biasa sebanyak 53,000 kenderaan,” kata Jokowi.

Rayuan untuk menangguhkan perjalanan pulang ke kota itu juga termasuk kepada penjawat awam, tentera, polis serta pegawai swasta.

Masyarakat dinasihatkan mengambil cuti tambahan untuk menangguhkan jadual pulang dan kembali bekerja mengikut budi bicara syarikat serta agensi masing-masing.

Gelombang kembali ke kota daripada mudik Aidilfitri bermula sejak Isnin berikutan tarikh cuti umum yang berakhir pada Selasa dan semua pejabat kerajaan mula dibuka semula pada Rabu.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN