WASHINGTON: Sebuah objek didakwa belon pengintip China yang terbang di ruang udara Amerika Syarikat (AS) pada awal tahun ini berjaya mengumpul sumber risikan dari pangkalan tentera selama beberapa hari sebelum ditembak jatuh.
Lapor NBC News yang memetik kenyataan pegawai AS, belon pengintip itu juga sempat menghantar data ke Beijing dalam masa nyata.
Menurut pegawai itu, belon berkenaan mengambil isyarat elektronik berbanding merakam gambar.
Setakat ini, White House masih belum mengesahkan laporan tersebut.
Namun, pegawai AS mendakwa pihaknya berjaya mengehadkan kebolehan mengumpul data risikan belon itu ketika ia melintasi ruang udara negaranya.
Kata pegawai itu, pihaknya menjejaki belon itu ketika melintas Alaska dan Kanada sebelum ia memasuki semula ruang udara AS pada awal Februari lalu.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Pertahanan Sabrina Singh berkata, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) masih sedang meneliti serpihan belon yang ditembak jatuh itu.
“Kami tahu belon itu boleh digerakkan dan dipandu dengan sengaja sepanjang laluannya.
“Pihak kami masih melakukan penilaian mengenai apakah maklumat risikan yang boleh dikumpulkan China.
“Namun, kami juga tahu langkah diambil ini memberikan sedikit nilai tambahan kepada apa yang mereka dapat kumpulkan daripada satelit sebelum ini,” katanya tanpa mendedahkan maklumat lanjut.
Dilaporkan, belon yang berada pada ketinggian kira-kira 60 meter itu, ditembak jatuh oleh jet pejuang AS di luar pantai California Selatan pada 4 Februari lalu.
China pula mendakwa objek yang berlegar di ruang udara AS merupakan belon udara digunakan untuk tujuan kaji cuaca dan Washington bertindak keterlaluan dengan menembak jatuhnya.
Insiden itu mencetuskan perbalahan diplomatik dan menyebabkan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken membatalkan lawatan kerja ke China.
Selepas beberapa minggu insiden itu, jet pejuang AS menembak jatuh beberapa belon lain yang disyaki berasal dari China.