AS beri amaran jangan sentuh teknologi nuklear negaranya di

AS beri amaran jangan sentuh teknologi nuklear negaranya di Ukraine

LOJI tenaga nuklear Zaporizhzhia di selatan Ukraine. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada Russia supaya tidak sesekali menyentuh teknologi nuklear milik negaranya yang terdapat di sebuah loji tenaga nuklear di Ukraine.

Lapor CNN, berdasarkan surat dikemukakan oleh Jabatan Tenaga AS kepada firma nuklear Russia, Rosatom, AS mengakui mempunyai teknologi nuklear yang sensitif di loji berkenaan.   

Dalam surat bertarikh 17 Mac 2023, Pengarah Pejabat Jabatan Tenaga Dasar, Andrea Ferkile memaklumkan kepada Rosatom bahawa loji tenaga nuklear Zaporizhzhia di Enerhodar mengandungi `data teknikal nuklear AS yang dikawal eksport oleh kerajaan AS’.

Barangan, perisian dan teknologi tertakluk pada kawalan eksport AS namun terdapat kebimbangan ia mungkin boleh digunakan untuk menjejaskan kepentingan keselamatan negara itu.

Surat tersebut dikeluarkan ketika tentera Russia terus menawan loji tenaga nuklear terbesar Eropah itu di wilayah Zaporizhzhia yang diduduki Moscow selepas pencerobohan di Ukraine pada Februari tahun lalu.        

Dilaporkan, sambungan loji tenaga nuklear itu sering diputuskan dari grid kuasa Ukraine disebabkan serangan sengit Russia di kawasan itu sekaligus mencetuskan kebimbangan seluruh Eropah mengenai kemungkinan berlaku kemalangan nuklear.

Loji tenaga nuklear itu masih dikendalikan secara fizikal oleh kakitangan Ukraine namun firma Rosatom menguruskannya.

Selain itu, Jabatan Tenaga AS menerusi surat tersebut turut memberi amaran kepada Rosatom bahawa mana-mana rakyat mahupun entiti Russia yang didapati mengendalikan teknologi AS adalah melanggar undang-undang.

“Ia menyalahi undang-undang AS apabila individu yang tidak mempunyai kuasa mahupun diberi kuasa bertindak mengendalikan teknologi negara kami.

“Ini termasuk warga dan entiti Russia seperti Rosatom dan anak syarikatnya mengakses, memiliki, mengawal, mengeksport, menyimpan, merampas, menyemak semula, mengeksport semula, menghantar, memindahkan, memanipulasi teknologi atau data teknikal atau mengarahkan atau memberi kuasa kepada individu lain melakukan perkara sama tanpa kebenaran daripada Jabatan Tenaga AS,” jelas surat itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN