HANOI: Polis menahan seramai 65 individu kerana cuba menyeludup masuk dadah seberat 50 kilogram (kg) ke Vietnam.
Memetik laporan BBC, sebahagian bungkusan dadah itu disembunyikan dalam tiub ubat gigi.
Ia susulan penahanan empat pramugari pesawat Vietnam Airlines yang didakwa menyeludup dadah dibungkus dalam tiub ubat gigi.
Kru kabin berkenaan ditahan pada bulan lalu selepas dadah tersebut ditemukan dalam beg tangan mereka sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat, Bandar Raya Ho Chi Minh dari Paris.
Menurut polis, kesemua 65 suspek itu ditahan selepas pihaknya berjaya menemukan enam lagi penghantaran dadah yang diseludup ke Vietnam melalui laluan yang sama.
Difahamkan, kumpulan individu berkenaan diarahkan oleh sindiket penyeludupan sama yang mengupah pramugari tersebut.
Media tempatan melaporkan 65 suspek itu kini disiasat atas pelbagai pertuduhan termasuk membeli, menjual, mengedar dan menyimpan dadah.
Polis mengesyaki sindiket sama sering menggunakan warga Vietnam yang belajar dan menetap di Perancis untuk membawa masuk bahan terlarang itu ke negara tersebut.
Dilaporkan, setelah bungkusan dadah itu tiba di lapangan terbang Vietnam, perkhidmatan penghantaran domestik mengedarkannya kepada rakan sejenayah di wilayah Dong Nai bersempadan dengan Saigon.
Dadah tersebut kemudian dihantar ke beberapa lokasi untuk diedarkannya.
Pihak berkuasa memaklumkan jumlah dadah dirampas melalui laluan udara ke negara itu sejak tiga bulan lalu, melepasi kuantiti dadah bawaan udara yang diseludup dalam tempoh lima tahun lalu.