Warga emas Kanada penderma darah terbanyak - Utusan Malaysia

Warga emas Kanada penderma darah terbanyak

JOSEPHINE Michaluk masih aktif menderma darah walaupun sudah mencecah usia 80 tahun.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EDMONTON: Warga emas dari Kanada yang kerap menderma darah selama hampir enam dekad diiktiraf Rekod Dunia Guinness sebagai penderma darah keseluruhan terbanyak bagi kategori wanita.

Rekod Dunia Guinness dalam satu kenyataan memaklumkan, Josephine Michaluk, 80, mula menderma darah sejak usia 22 tahun pada 1965.

Sehingga kini, Michaluk yang berasal dari wilayah Alberta sudah mendermakan sejumlah 203 pain darah.

Menurut Michaluk, aktiviti murni itu mula dilakukan selepas dia menemani kakaknya yang mempunyai janji temu menderma darah.

“Saya memutuskan untuk menyertainya menderma darah ketika itu dan dari situ lah permulaannya,” katanya.

Michaluk memiliki darah jenis O+  yang mempunyai permintaan sangat tinggi di hospital dan tidak menyangka usaha itu akan tercatat dalam rekod dunia.

“Saya rasa seperti sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memberi dan berkongsi dengan mereka yang memerlukan. Saya tidak pernah terfikir akan memiliki rekod dunia dan saya tidak menderma atas sebab itu. 

“Saya bercadang untuk meneruskannya selagi saya masih hidup. Prosedur ini juga tidak menyakitkan, malah saya merasa lebih bertenaga selepas setiap pendermaan walaupun kehilangan satu pain darah,” jelasnya.

Michaluk berkata, dia sentiasa menjalani pemeriksaan untuk memastikan dirinya berada dalam keadaan baik dan tahap zat besi tubuhnya cukup tinggi sebelum membuat janji temu menderma darah.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya