PORT VILA: Vanuatu mengisytiharkan darurat hari ini selepas negara ini digegarkan dengan dua gempa bumi berturut-turut ketika bergelut dengan ancaman taufan.
Menurut agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi pertama sekuat 6.5 magnitud melanda luar Pulau Espiritu Santo yang terletak di utara Vanuatu, membabitkan kedalaman 10 kilometer.
Sejurus kemudian, pulau itu sekali lagi digegarkan dengan satu gempa susulan berukuran 5.4 magnitud.
Bagaimanapun Pusat Amaran Tsunami Pasifik memaklumkan tiada ancaman tsunami akibat gempa bumi pertama.
“Susulan insiden bencana gempa yang berlaku ketika Taufan Kevin membadai, Majlis Menteri mengambil keputusan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini,” kata jurucakap kerajaan, Joe Harry Karu.
Jurucakap Palang Merah Pasifik, Soneel Ram memberitahu, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Menurut Laporan Risiko Dunia yang dikeluarkan secara tahunan, Vanuatu disenaraikan sebagai antara negara paling terdedah kepada bencana alam seperti gempa bumi, ribut kuat, banjir dan tsunami- AFP










