Mexico terlalu bahaya untuk dikunjungi - Utusan Malaysia

Mexico terlalu bahaya untuk dikunjungi

POLIS Mexico menahan lima anggota kartel dadah yang diikat dan ditinggalkan di tepi jalan di Matamoros.-AGENSI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEXAS: Pihak berkuasa Texas memberi amaran kepada rakyat Amerika Syarikat (AS) supaya tidak pergi ke Mexico semasa cuti musim bunga berikutan ancaman keganasan kartel dadah yang semakin memuncak di negara itu.

Amaran tersebut dikeluarkan selepas empat rakyat AS diculik sejurus selepas menyeberang sempadan minggu lalu.

Dua daripada mereka dibunuh, manakala dua lagi dibebaskan tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Tiga wanita AS yang pergi ke Mexico untuk menjual pakaian di pasar lambak di negara itu turut dilaporkan hilang sejak dua minggu lalu.

“Keganasan kartel dadah dan aktiviti jenayah lain mewakili ancaman keselamatan yang besar kepada sesiapa sahaja yang ingin menyeberang ke Mexico ketika ini.

“Berdasarkan sifat aktiviti kartel yang tidak menentu dan tahap keganasan yang kami lihat di sana, kami menggesa individu untuk membatalkan perjalanan ke Mexico pada masa ini,” kata Pengarah Jabatan Keselamatan Awam Texas, Steven McCraw.

TINDAKAN ANEH KUMPULAN KARTEL

Empat rakyat AS dilaporkan diculik oleh kartel dadah dan dua daripada mereka dibunuh ketika melawat bandar Matamoros di Mexico awal bulan ini, semetara seorang pemerhati Mexico turut terbunuh dalam kejadian itu.

Kartel yang bertanggungjawab terhadap insiden pembunuhan tersebut dilaporkan membuat permohonan maaf atas kejadian itu malah menyerahkan sendiri lima anggotanya yang terlibat menembak mangsa kepada pihak polis Mexico.

“Sepucuk surat ditinggalkan bersama lelaki berkenaan yang diikat di tepi jalan, menuduh mereka bertindak sendiri dan tidak berdisiplin serta kononnya melanggar peraturan kartel yang sentiasa melindungi nyawa orang yang tidak bersalah.

“Surat itu ditandatangani oleh ‘Kumpulan Kalajengking’ iaitu sebuah puak serpihan Kartel Teluk yang sangt besar dan paling berkuasa di negara ini,” jelas polis Mexico.

Surat itu mengejutkan ramai pihak kerana menunjukkan tanggungjawab sivik yang didakwa dimiliki oleh banyak kartel Mexico.

Walaupun mencetus huru-hara dan ketakutan melalui pemerasan, pembunuhan serta penculikan, kumpulan seperti Kartel Teluk dan saingan mereka iaitu Kartel Sinaloa menyatakan kod etika yang diputarbelitkan di mana mereka kononnya bertindak sebagai pelindung kepada golongan yang lemah di Mexico.

KERUHKAN HUBUNGAN AS-MEXICO

Pihak berkuasa Mexico percaya ahli kumpulan kartel itu tersilap menyangka empat rakyat AS tersebut sebagai anggota daripada kumpulan musuh dan terus melepaskan tembakan apabila mereka cuba melarikan diri.

Insiden itu memburukkan lagi hubungan yang sedia keruh antara kedua-dua negara.

Senator Republikan, Dan Crenshaw menggesa pentadbiran Presiden AS, Joe Biden membenarkan penempatan tentera AS di sempadan untuk memerangi kartel dadah tersebut.

Presiden Mexico, Andrés Manuel López Obrador bagaimanapun menggelar cadangan itu sebagai tindakan yang ‘bongkak’ dan cubaan untuk mengancam kedaulatan Mexico.

“Kami tidak akan membenarkan mana-mana kerajaan asing campur tangan lebih-lebih lagi kemasukan angkatan tentera asing di wilayah kami.

“Saya juga akan meminta rakyat AS yang berasal dari Mexico dan Hispanik untuk tidak mengundi Republikan jika pencerobohan mereka berterusan,” tegas Obrador.-AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya