BEIJING: Peranti ciuman aneh dicipta oleh sekumpulan pelajar universiti di China untuk merapatkan pasangan yang mempunyai hubungan jarak jauh.
Lapor Sky News, alat silikon 3D yang dilekatkan pada telefon pintar pengguna mempunyai modul berbentuk mulut dan berfungsi melalui ciuman yang kemudiannya dipindahkan ke mulut pemanggil.
Ia meniru pergerakan, suhu dan tekanan ciuman menggunakan sensor dan pautan ke telefon pintar melalui Bluetooth dan aplikasi khas.
Bagaimanapun peranti aneh itu menerima pelbagai kecaman warganet dalam media sosial.
Sesetengah pengguna memanggil peranti itu pelik manakala yang lain pula berpendapat peranti itu meyakinkan mereka bahawa hubungan jarak jauh adalah satu idea yang agak buruk.
Menurut saluran media kerajaan Global Times, ciptaan itu dipatenkan oleh Institut Teknologi Mekatronik Vokasional Changzhou.
“Di universiti saya, saya menjalinkan hubungan jarak jauh dengan teman wanita saya, jadi kami hanya menghubungi satu sama lain melalui telefon.
“Di situlah inspirasi peranti ini bermula,” kata pencipta utama peranti itu, Jiang Zhongli kepada Global Times.
Menurut CNN, fungsi yang terdapat dalam aplikasi itu berbahaya dan menggalakkan perkara yang tidak baik kerana pengguna mungkin bercium secara rambang dengan orang yang tidak dikenali selepas ciuman boleh dimuat turun dan dialami oleh sesiapa sahaja.