EU mahu terus rundingan FTA dengan Malaysia

EU mahu terus rundingan FTA dengan Malaysia

MICHALIS ROKAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Walaupun run­dingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) di antara Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia me­nemukan jalan buntu pada 2012, namun, hubungan perdaga­ngan di antara kedua-dua negara tetap tumbuh dengan positif dan rancak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Duta Delegasi EU ke Malaysia, Michalis Rokas berkata, pada 2021, nilai perdagangan bagi kedua-dua negara adalah RM200 bilion dan angka itu dijangka meningkat dengan signifikan pada tahun ini.

Katanya, sehingga kini, le­bih 1,600 buah syarikat EU daripada 12 buah dewan perniagaan sudah berdaftar di Malaysia terutamanya dalam sektor elektronik, mesin serta jentera dan peralatan perubatan.

RAKAN DAGANG KEEMPAT TERBESAR
Malah, EU merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia selepas China, Singapura dan Korea Selatan manakala Malaysia, katanya, menjadi rakan dagang ketiga terbesar EU di ASEAN.

“Kita boleh melakukan de­ngan lebih baik. Kita mesti ada persetujuan. Kita mula berun­ding suatu ketika dahulu dan kemudian berhenti. Tetapi, sa­ya yakin jika kita memulakan rundingan semula, ia akan mewujudkan banyak peluang,” katanya.

Rundingan Malaysia-EU FTA (MEUFTA) dilancarkan secara rasmi pada 5 Oktober 2010 dan sebanyak lapan pusingan run­dingan diadakan antara Disember 2010 dan September 2012.

Rundingan itu bagaimanapun menemukan jalan buntu pada 2012 kerana kedua-dua pihak kehabisan pilihan rundi­ngan mereka pada masa itu.

Selepas itu, dipersetujui bahawa rundingan akan disambung semula apabila mandat baharu atau fleksibiliti tersedia untuk kedua-dua pihak.

Malaysia dan EU juga dikatakan memeterai Perjanjian Per­kongsian dan Kerjasama (PCA) pada Disember 2015.

KEDUDUKAN MALAYSIA STRATEGIK
Tambah Rokas, Malaysia terletak di lokasi yang strategik ia­itu hab ASEAN serta mempunyai guna tenaga kerja yang baik.

Jelasnya, infrastruktur di ne­gara ini juga hebat dan dengan pelancaran rangkai­an telekomunikasi 5G, ia boleh meningkatkan perlindungan da­ta yang amat dicari oleh syarikat-syarikat EU.

Rokas memberitahu, beliau juga yakin jika EU dan Malaysia memulakan rundingan, ia akan mewujudkan lebih banyak peluang perdagangan.

“Dunia berubah secara mendadak, saya rasa kepentingan EU dan Malaysia adalah untuk mendapatkan perkongsian rantaian bekalan yang boleh mewujudkan banyak peluang syarikat dari kedua-dua negara untuk berkembang maju.

“Saya ingin menyatakan pelaburan EU di sini sangat mapan dan kami sangat gembira dengan itu. Ia boleh pergi lebih jauh. Kami juga mempunyai pelaburan langsung asing (FDI). FDI kami setakat ini hampir 16 peratus daripada keseluruhan FDI di negara ini.

Rokas berkata, setakat ini, pihaknya masih kekal nombor satu kepada Malaysia dalam konteks FDI.

Malah, katanya, syarikat-sya­rikat Malaysia juga dilaporkan semakin banyak melabur ke EU.

“Kami boleh melakukan yang lebih baik dalam sektor perkhidmatan di sini.

“Sektor perkhidmatan kami kini berjumlah 27 bilion Euro (RM128.6 bilion),” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya