SYDNEY: Pegawai Australia memberi amaran tentang peningkatan risiko kebakaran belukar di timur negara itu ketika gelombang haba yang teruk mendorong suhu di beberapa wilayah termasuk Sydney ke paras tertinggi dalam tempoh dua tahun.
Sebanyak 33 kebakaran berlaku di seluruh New South Wales (NSW) yang mempunyai paling ramai penduduk di Australia dengan 12 daripadanya masih belum dapat dikawal.
Lima sekolah awam terpaksa ditutup ketika larangan pembakaran dikuatkuasakan sepenuhnya di sebahagian besar negeri itu.
Pesuruhjaya Perkhidmatan Bomba Luar Bandar NSW Rob Rogers berkata, dua kebakaran belukar diturunkan daripada paras amaran kecemasan semalam tetapi pegawai berkata ia boleh menyala semula.
“Ia akan mengambil masa beberapa hari untuk mengawal kebakaran ini,” katanya.
Tiada kecederaan dilaporkan namun pihak berkuasa berkata beberapa penduduk terpaksa dipindahkan.
Banyak wilayah di NSW mencatatkan hari paling panas sejak Januari 2021 dengan suhu mencecah lebih 40 darjah Celsius.
Sejak akhir 2020, cuaca Australia telah didominasi oleh La Nina yang membawa lebih banyak hujan dan banjir.
Tetapi fenomena cuaca itu kemungkinan hampir ke penghujungnya dan keadaan neutral berkemungkinan akan berlaku sepanjang musim luruh.
“Orang ramai benar-benar berfikir dan melihat banjir sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mereka tidak memikirkan tentang persiapan kebakaran mereka,” kata Inspektor Perkhidmatan Bomba Luar Bandar NSW Ben Shepherd kepada Sky News.-REUTERS










