KYIV: Pakar penyelamat Ukraine yang berpengalaman dengan situasi kecemasan di zon perang membawa kemahiran mereka terbang ke Turkiye untuk membantu operasi mencari mangsa di bawah runtuhan gempa bumi kuat yang melanda negara itu Ahad lalu.
Kyiv menghantar 88 anggota kecemasan ke Turkiye kelmarin selepas bencana tersebut mengorbankan lebih 20,000 nyawa di seluruh tenggara Turkiye dan barat laut Syria.
Pasukan itu termasuk pakar dalam operasi mencari dan menyelamat, doktor, pengendali anjing dan anggota bomba.
“Terdapat perang di negara kita, tetapi kami faham bahawa kami perlu menyumbang tenaga dan bantuan ini dilakukan bersama.
“Setiap nyawa amat berharga dan kami amat bersimpati dengan rakyat Turkiye terutama keluarga mangsa yang terkorban dan cedera,” kata jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Ukraine, Oleksandr Khorunzhyi.
Pasukan Ukraine telah membina khemah berhampiran bandar Antakya di Turkiye berhampiran sempadan Syria untuk menyediakan tempat perlindungan kecemasan dan memasang generator bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat gempa bumi.
Mereka menyertai anggota pasukan penyelamat dari Turkiye dan seluruh dunia termasuk Russia yang menceroboh Ukraine setahun lalu.
“Kami akan bekerja dan menjarakkan diri daripada penyelamat Russia sejauh yang kami mampu.
“Pusat penyelarasan telah memaklumkan kepada kami bahawa kru kecemasan Russia berada di tempat yang jauh dan kami tidak akan dapat bertemu,” kata Khorunzhyi.-REUTERS










