Melakonkan bait puisi dalam persembahan opereta

Melakonkan bait puisi dalam persembahan opereta

SAKRANI SAMSUDIN (kiri) dan AWANG SARIYAN tokoh di sebalik kejayaan persembahan opereta anjuran Persatuan Teater Malaysia di Dewan Bahasa baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sangat jarang persembahan seperti ini dipentaskan tetapi penganjurnya, Persatuan Teater Malaysia (PTM) mempunyai sebab tersendiri melakukannya.

Persembahan teater berkonsepkan opereta atau dekon iaitu deklamasi puisi sambil berlakon suatu yang agak baharu dalam konteks persembahan pentas disekalikan dengan genre puisi.

Program anjuran PTM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Institut Perguruan (IPG) Kampus Pendidikan Islam, dengan sokongan Pejabat Kursi Institusi Raja-Raja Melayu dinamakan Opereta Puisi Melayu Bitara 2025, sebuah persembahan teater puisi berkonsepkan opereta berdasarkan karya agung Senator Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Persembahan seni lakon pentas itu disutradarai oleh Shakrani Shamsuddin selaku presiden PTM yang merupakan seorang penggiat teater tanah air yang berpengalaman luas dalam bidang seni persembahan.

Persembahan dengan nama rasminya Opereta Puisi Melayu Bitara: Warisan Jiwa Melayu – DAri Tamadun ke Perpaduan merupakan sebuah karya teater puisi yang mengetengahkan keindahan bahasa serta keagungan tamadun Melayu.

Melalui gabungan deklamasi puisi, lakonan dramatik, tarian dan nyanyian, karya tersebut mengangkat semangat bangsa Melayu yang berbudaya tinggi, bersatu padu dan berilmu dalam menghadapi cabaran zaman moden.

Selain itu, persembahan tersebut turut berperanan sebagai wadah memperkukuh martabat bahasa dan jati diri bangsa, di samping menzahirkan penghormatan terhadap tokoh-tokoh bahasa dan sastera negara yang menjadi teras keunggulan warisan intelektual Melayu.

Antara tujuan program tersebut kata Sakrani adalah menghidupkan semula seni bangsawan sebagai khazanah budaya warisan, memberi peluang penggiat seni berkarya dan berkongsi dengan masyarakat, meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya generasi muda, terhadap sejarah dan budaya, menjadikan bangsawan sebagai tarikan pelancongan budaya dan memupuk jati diri dan identiti budaya bangsa.

Persembahan bertujuan untuk mengangkat martabat bahasa dan sastera Melayu sebagai wahana utama dalam pembinaan jati diri dan peradaban bangsa dan menonjolkan keindahan serta keluhuran seni puisi Melayu melalui penggabungan elemen deklamasi, lakonan, tarian dan nyanyian dalam satu persembahan teater yang menyeluruh.

 

SENARAI PERSEMBAHAN OPERETA PUISI

* Maaf Hamba Bertanya didekon oleh Datin Seri Haryani Haron.
*Erti Ikrar dan Sumpah didekon oleh Rudy Irwan Shukaime, Maslinah Yusof dan Bunga Merah (Siti Nur Aini Jasni)
*Tazkirah Menjaga Diri didekon oleh Lin Hazlinaz (Haslinaz Hanapi)
*Quo Vadis Bahasaku? didekon oleh Lim Ah Nee
*Tragedi Perpecahan Alam Melayu Raya didekon oleh Helmi Hashim, Azliana Mashuri dan Ahmad Nadzlee Fitri Mohammad.
* Mencari “Kita” dinyanyikan oleh Datin Seri Nurmala Mas’odi.
* Lalu Apa? didekon oleh Moh Azam Rezali, Muhd Azman,Farish Danial dan Tamjid dari Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK)
* Yang Hebat” didekon oleh Dr Ferri Anugerah Makmur.
* Madah Jebat Ketika Rebah di Pangku Tuah didekon oleh Siti Nur Aini Jasni (Bunga Merah), Marzelan Pujangga Seni (Marzelan Md Jusoh) dan Moh Azam Rezali
*Nasib Warkah yang Dimuliakan Helmi Hashim, Azliana Mashuri dan Ahmad Nadzlee Fitri Mohammad
* Permainan Apakah Ini? didekon oleh Bunga Merah (Siti Nur Aini Jasni), Marzelan Pujangga Seni (Marzelan Md Jusoh) dan Moh Azam Rezali
* Melayu Itu Siapa didekon oleh Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman.
* Kalau Memang Mahu dinyanyikan oleh Datin Seri Nurmala Mas’odi.

 

Selain itu, ia diharap menyemarakkan semangat perpaduan dan kebanggaan bangsa Melayu, khususnya dalam menghargai akar tamadun dan warisan budayanya dan memberi penghormatan kepada tokoh bahasa dan sastera negara.

Persembahan berkenaan juga mengungkap perjalanan jiwa dan tamadun bangsa Melayu dalam mencari makna kemuliaan, perpaduan dan jati diri di tengah arus perubahan zaman.

Perjalanan puitis itu bermula dengan persoalan “Melayu itu siapa?”, membawa penonton menyelusuri akar sejarah bangsa yang penuh nilai dan kebijaksanaan. Puisi-puisi awal pula mengetengahkan seruan untuk mengenal diri, menjaga maruah, dan memartabatkan bahasa, simbol jiwa bangsa yang menjadi teras tamadun.

Dalam segmen pertengahan, penonton dibawa menyaksikan keagungan dan kejatuhan bangsa Melayu, melalui karya-karya yang menggambarkan tragedi perpecahan, kehilangan arah dan persoalan maruah. Persembahan akhirnya mencapai kemuncak apabila suara puisi menyeru kebangkitan baharu – bangsa Melayu yang insaf, berpadu dan kembali menegakkan warisan budayanya dengan ilmu, budi dan bahasa. Setiap naskah puisi, gerak lakon, tarian dan nyanyian disulam dalam satu kesinambungan emosi yang

menggugah menzahirkan jiwa Melayu yang luhur, berbudaya, dan berpadu atas dasar tamadun yang tinggi.

Kata Sakrani, program opereta itu dianjurkan berasaskan konsep teater puisi naratif yang menggabungkan keindahan bahasa, kekuatan dramatik dan kehalusan seni persembahan Melayu.

“Konsep ini menekankan gabungan empat elemen utama iaitu puisi, lakonan, gerak dan nyanyian, yang berpadu secara harmoni dalam bentuk persembahan operetta.

“Gaya pementasan menonjolkan keindahan simbolik dan estetika Melayu melalui penggunaan bahasa indah, gerak tubuh berirama, serta muzik dan nyanyian berunsur tradisional yang diolah dengan sentuhan kontemporari, “ ujarnya.

Persembahan yang melibatkan 50 orang itu bukan sekadar hiburan seni, tetapi satu manifestasi intelektual dan kerohanian bangsa, yang menzahirkan warisan pemikiran, nilai dan semangat perpaduan dalam acuan tamadun Melayu yang luhur dan berjati diri.

Melalui persembahan tersebut, keindahan bahasa diungkap bukan sekadar sebagai seni kata, tetapi sebagai roh dan semangat bangsa yang perlu terus hidup dan subur dalam sanubari rakyat.

Pementasan tersebut juga diharap menjadi titik tolak kepada penghasilan karya seni yang lebih berimpak tinggi, mendukung aspirasi negara dalam memperkukuh industri kreatif dan memartabatkan seni teater puisi Melayu di persada nasional dan antarabangsa.

Program berkenaan kata Sakrani, berjaya membuka mata banyak pihak yang lain berhasrat menganjurkan acara seumpama itu.

Dalam pada itu, seorang peserta yang mendeklamasi puisi Melayu Itu Siapa Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman berpendapat persembahan teater puisi yang menarik dan merupakan satu inovasi yang menggandingkan seni dengan intelektualiti.

“Daripada 300 puisi Senator Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, (sebanyak) 13 puisi dipentaskan, “ ujarnya.

Raja berkata, pemilihan puisi dalam bentuk opereta ada permulaan, pertengahan, klimaks dan diakhiri dengan kesedaran untuk memperkasakan dan melestarikan warisan kebangsaan.

Beliau turut teruja dengan cara Sakrani yang menyusun skrip puisi yang dibacakan yang memudahkannya menghafal skrip dua halaman penuh dengan mudah.

Namun berbeza dengan seorang pengarah teater yang enggan dikenali yang berpandangan agak keliru dengan konsep yang ditampilkan

“Melihat dari sudut set pentas, saya mengharapkan mungkin ada seni bangsawan akan dipentaskan.

“Bagi saya kalau mereka hendak mengambil pendekatan puisi dijadikan teater, boleh dilakukan tapi mesti memilih puisi yang sesuai supaya ia menjadi satu plot cerita, “ ujarnya lagi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×