Pasca gempa bumi: Bina bandar baharu selepas bencana

Turkiye bina bandar baharu selepas bencana

OGUN Sever Okur, lelaki Turkiye berusia 38 tahun menggantung belon pada serpihan bangunan runtuh di Antakya sebagai solidariti. -AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTAKYA: Kerajaan Turkiye dila­­porkan akan membina ban­dar-bandar baharu yang lebih kukuh, selesa dan mampu men­cerap gegaran gempa bumi.

Tempoh pembinaan bandar yang turut meliputi perumahan penduduk itu dijangka me­ngambil masa setahun.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, beliau berjanji untuk membina se­mula perumahan untuk mangsa-mangsa gempa bumi dalam tempoh yang singkat.

Kelmarin, bank pusat Turkiye dikatakan menurunkan kadar mata asasnya sebanyak 50 mata asas kepada 8.5 peratus untuk menyokong pertumbuhan eko­nomi negara susulan gempa bumi.

“Ia menjadi lebih penting un­tuk mengekalkan keadaan kewa­ngan yang menyokong untuk mengekalkan momentum pertumbuhan dalam pengeluaran pe­rindustrian serta arah aliran positif dalam pekerjaan selepas gempa bumi,” kata bank itu selepas me­syuarat dasar bulanannya.

1.3 JUTA DALAM KHEMAH, KONTENA
Kini, katanya, kira-kira 865,000 orang mangsa tinggal dalam khemah dan 23,500 di rumah kontena manakala 376,000 lagi berada di asrama pelajar dan rumah tumpangan awam di luar zon gempa.

Bagi langkah segera, kerajaan Turkiye dikatakan sedang mening­katkan rancangan pe­nempatan sementara mangsa-mangsa gempa bumi ketika jumlah kematian di kedua-dua negara dilaporkan menghampiri 50,000 orang.

Dilaporkan, sebanyak 313,000 khemah tambahan akan didirikan dengan 100,000 rumah kontena akan dipasang di zon bencana yang menjangkau ratusan kilometer ke pedalaman dari pantai Mediterranean Turkiye dan Syria.

KEMATIAN HAMPIRI 50,000
Menteri Dalam Negeri Turkiye, Suleyman Soylu berkata, jumlah kematian di negara itu sahaja dicatatkan sebanyak 43,556 orang manakala di Syria seramai 6,000 orang.

Dalam temu bual dengan penyiar negeri TRT Haber, Soylu berkata, pasukan penyelamat kini sedang menyaring dua ba­ngunan di wilayah Hatay yang musnah teruk.

Katanya, pencarian tertumpu kepada mayat-mayat yang berada di bawah runtuhan bangunan dan operasi pencarian di keba­nyakan tempat lain bagaimanapun sudah berakhir.

Soylu berkata, lebih 600,000 pangsapuri dan 150,000 premis komersial dilaporkan mengalami kerosakan sederhana.

“Bandar kami akan bina di tempat yang betul, anak-anak kami akan tinggal di bandar yang lebih kuat. Kami tahu jenis ujian yang kami hadapi dan kami akan keluar daripada ujian ini dengan lebih kuat,” katanya kepada penyiar negeri TRT Haber.

Soylu juga berkata, pihak berkuasa sedang meluaskan siasatan terhadap kontraktor bangunan Turkiye yang disyaki melanggar piawaian keselamatan dan menjadi penyebab pe­ningkatan skala kemusnahan.

Beliau berkata, 564 suspek sudah dikenal pasti, dengan 160 orang ditangkap secara rasmi dan ramai lagi masih dalam pe­ringkat siasatan.

Sementara itu, Menteri Alam Sekitar dan Urbanisasi Turkiye, Murat Kurum berkata, sekurang-kurangnya 164,000 bangunan dilaporkan sama ada runtuh atau rosak sehingga perlu dirobohkan.

Sementara di Syria, agensi pertahanan awam tempatan di barat laut Syria yang dikenali sebagai The White Helmets memberitahu, beribu-ribu kanak-kanak dan puluhan ribu keluarga di negara berkenaan berlindung di dalam kereta dan khemah.

Hal ini berikutan mereka khuatir mereka akan berdepan dengan kejadian gempa bumi yang berulang.

Bercakap mengenai bantuan kemanusiaan, beberapa pesawat dari negara-negara Arab dilaporkan membuat pendaratan kali pertama untuk menghantar barangan keperluan di Damsyik selepas sekian lama tidak berbuat demikian.

Hal ini berikutan wujud hubungan dingin di antara negara-negara berkenaan.

Arab Saudi dan Mesir, dua sekutu utama Amerika Syarikat di rantau itu, juga dilaporkan menghantar bantuan kemanusiaan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya