Gempa bumi Turkiye: Qatar sumbang kabin, karavan Piala Dunia

Gempa bumi Turkiye: Qatar sumbang kabin, karavan Piala Dunia 2022 bantu mangsa gempa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Kerajaan Qatar memutuskan untuk menyerahkan 10,000 kabin dan karavan yang telah digunakan semasa Piala Dunia 2022 kepada Turkiye dan Syria bagi membolehkan pemerintah kedua-dua negara menempatkan mangsa gempa bumi yang kehilangan tempat tinggal, lapor pegawai Qatar.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menyatakan, berjuta-juta rakyat di dua negara itu memerlukan bantuan selepas gempa bumi 7.8 magnitud yang melanda telah membunuh sekurang-kurangnya 34,000 orang dan meratakan seluruh kawasan perumahan di dua negara jiran berkenaan.

“Memandangkan keperluan mendesak di Turkiye dan Syria, kami telah mengambil keputusan untuk menghantar kabin dan karavan kami ke rantau ini, memberikan sokongan segera yang amat diperlukan rakyat Turkiye dan Syria,” kata seorang pegawai Qatar kepada agensi berita AFP.

Rumah mudah alih itu digunakan selama beberapa minggu ketika Qatar menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Dunia 2022.

Pegawai itu berkata, selepas kejohanan itu, kabin dan karavan akan didermakan.

“Penghantaran pertama ditetapkan untuk meninggalkan pelabuhan Doha ke Turkiye hari ini, dengan penghantaran lanjut dijangka dalam beberapa hari akan datang,” katanya.

Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani melawat Turkiye semalam, menjadikan beliau pemimpin asing pertama berbuat demikian sejak gempa tersebut melanda 6 Februari lalu.

“Kami menjauhkan diri dari zon terjejas, mengadakan perbincangan di Istanbul dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengenai cara Doha boleh membantu meringankan bencana ini,” kata Sheikh Tamim dalam ciapan di Twitter.

Qatar mempunyai salah satu pasukan penyelamat asing terbesar di Turkiye dengan kira-kira 130 orang berada di lapangan dan telah menghantar 100 tan bantuan.

Kedua-dua negara telah membina hubungan yang semakin kukuh sejak beberapa tahun lalu. – AFP.

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.