50 pelajar Malaysia ke Turkiye ikuti bidang teknologi, teknikal

50 pelajar Malaysia ke Turkiye ikuti bidang teknologi, teknikal

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tengah) bercakap pada Taklimat Media bagi Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama (JC) Antara Malaysia - Republik Turkiye dan Kongres Pendidikan Bumiputera di Menara Dato Onn di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Program mobiliti pelajar antara Malaysia dan Turkiye akan diperluaskan termasuk penghantaran kira-kira 50 pelajar bagi mengikuti pengajian dalam bidang teknologi dan teknikal.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, inisiatif itu bertujuan memperluas pendedahan pelajar dalam bidang berimpak tinggi selain memanfaatkan keupayaan universiti di Turkiye.

Katanya, peluasan program tersebut dibuat selepas kerajaan mengenal pasti beberapa bidang pengajian hasil perbincangan bersama pihak Turkiye sebelum ini.

“Kita telah mengenal pasti beberapa bidang pengajian melalui mesyuarat yang diadakan di Turkiye tahun lalu dan melihat kepada kecenderungan pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian ke sana.

“Ketika ini, kebanyakan pelajar memilih bidang sastera dan sejarah Ottoman serta ada yang berminat mempelajari bahasa Turki, namun kita juga melihat potensi besar dalam bidang lain,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Media Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama Malaysia – Turkiye dan Kongres Pendidikan Bumiputera di World Trade Centre (WTCKL) hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, kerajaan memberi tumpuan kepada bidang teknologi bagi memastikan pelajar mendapat pendedahan yang lebih luas selari dengan keupayaan universiti di negara tersebut.

Katanya, langkah itu termasuk mengenal pasti institusi pendidikan tinggi di Turkiye yang sesuai untuk dijalin kerjasama strategik.

“Universiti di Turkiye mempunyai taraf yang tinggi dalam bidang teknologi dan teknikal, jadi kita memberi perhatian untuk mengenal pasti institusi yang boleh bekerjasama dengan kita.

“Program ini turut melibatkan pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam bidang teknologi dan teknikal sebagai sebahagian daripada usaha memperluas peluang pengajian pelajar Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Program mobiliti ini membolehkan pelajar mengikuti pengajian di luar negara untuk tempoh tertentu sama ada setahun atau beberapa bulan sebelum kembali ke negara ini,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN