Lima lelaki naik van putih dibelasah gara-gara berita palsu - Utusan Malaysia

Lima lelaki naik van putih dibelasah gara-gara berita palsu

AKSI penduduk setempat membelasah lima lelaki dan merosakkan van putih milik mereka di Desa Sukaraja di Sumatera Selatan yang tular baru-baru ini.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Lima lelaki dari Garut di Jawa Barat nyaris maut gara-gara berita palsu apabila dibelasah teruk penduduk selepas didakwa sebagai penculik kanak-kanak ketika berkunjung ke Musi Rawas Utara di Sumatera Selatan minggu lalu.

Lapor Kompas.com penduduk begitu beremosi selepas mendapat berita kononnya sebuah van putih yang dinaiki lima penjual jaket mahu cuba menculik seorang kanak-kanak di kampung Terusan di mukim Karang Jaya.

Aksi penduduk yang menyerbu dan beramai-ramai mengamuk memusnahkan kenderaan serta menyamun kesemua barangan milik lima lelaki berkenaan dirakam oleh penduduk dan dimuat naik di media sosial Facebook hingga tular.

Berikutan kejadian itu, lima lelaki berkenaan yang berasal dari daerah Sukawening dan Pangatikan di wilayah Garut mahu meneruskan proses perundangan terhadap penduduk yang memukul mereka.

Salah seorang lelaki, Dadang Wahyudin, 49, yang menjadi mangsa berita palsu penculikan itu berkata, dia dan rakan-rakannya pergi ke Sumatera Selatan untuk berniaga dan masih trauma dengan kejadian yang menimpanya.

Dadang yang sudah 16 tahun menjalankan perniagaan menjual pakaian terus membuat pemeriksaan di hospital Dr. Slamet Garut sejurus tiba di kampung halamannya.

Dadang berkata, di Sumatera Selatan dia dan empat rakannya dipaksa menandatangani perjanjian damai dengan penduduk dan dalam perjanjian itu, Dadang serta rakan-rakannya diberikan pampasan berjumlah 30 juta rupiah (RM8,594).

Dadang mengaku terpaksa berdamai kerana ada ancaman jika mereka tidak berbuat demikian, Balai Polis Muratara akan dibakar oleh penduduk.

Bagaimanapun mereka berharap penduduk yang melakukan penderaan itu dikenakan tindakan undang-undang agar kejadian serupa tidak berulang pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya