Kim Jong Un bincang pembangunan pertanian

Kim Jong Un bincang pembangunan pertanian

KIM Jong Un meneliti jagung yang dihasilkan di salah sebuah kawasan pertanian di Korea Utara. -AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEOUL: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengadakan satu mesyuarat penting dengan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan bagi membincangkan mengenai pembangunan pertanian.

Lapor AFP, langkah itu dibuat berikutan krisis makanan yang dilaporkan kritikal di negara berkenaan.

Kebiasaannya mesyuarat sebegini hanya diadakan sekali atau dua kali setahun, tetapi kali ini kerap kali dijalankan untuk memberi fokus kepada isu pertanian.

Kekerapan pertemuan luar biasa yang memberi tumpuan kepada pertanian itu secara tidak langsung mencetuskan spekulasi bahawa mungkin terdapat kekurangan makanan yang serius di Korea Utara sekarang.

Jong Un mempengerusikan pembukaan mesyuarat pleno pegawai tertinggi parti pemerintah kelmarin untuk menganalisis dan menyemak program untuk revolusi luar bandar dalam era baharu.

Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan, beliau juga memutuskan tugas penting serta-merta dan tugas mendesak yang perlu dilakukan.

Para peserta mesyuarat sebulat suara meluluskan perkara agenda perbincangan, kata KCNA tanpa memberikan butiran lanjut.

Kementerian penyatuan Korea Selatan baru-baru ini mengatakan terdapat laporan kematian akibat kelaparan di Korea Utara.

Jurucakap kementerian, Koo Byoung-sam berkata minggu lalu, pihaknya menilai kekurangan makanan di sana dan mendapati ia adalah serius.

Byoung-sam menambah, Pyongyang kelihatan cuba meminta bantuan makanan daripada Program Makanan Sedunia.

Korea Utara yang mempunyai senjata nuklear berada dalam sekatan ekonomi berikutan program persenjataannya dan kini bergelut untuk memberi makan kepada rakyatnya sendiri.

Negara berkenaan juga sangat terdedah kepada bencana alam termasuk banjir dan kemarau kerana kekurangan infrastruktur yang kronik, penebangan hutan berleluasa dan salah urus negara selama berdekad-dekad.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya