Jokowi sasar sambut kemerdekaan di Nusantara - Utusan Malaysia

Jokowi sasar sambut kemerdekaan di Nusantara

JOKOWI melawat lokasi Istana Presiden di Nusantara di Kalimantan Timur kelmarin.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) menyuarakan harapan agar Hari Kemerdekaan Indonesia pada 2024 akan disambut di ibu kota negara (IKN) yang baharu di Nusantara di wilayah Kalimantan Timur.

Jokowi berkata, beliau sudah berbincang dengan pihak berkepentingan termasuk pereka bentuk dan pelaksana projek pembangunan IKN mengenai usaha menyiapkan Istana Nusantara tahun depan dan optimis sasaran itu akan dicapai.

“Saya optimis sambutan Hari Kemerdekaan Ogos tahun depan akan diadakan di Istana Presiden di sini.

“Reka bentuk keseluruhan tetap sama, tetapi nanti akan ada sedikit pelarasan dalam pelaksanaan pembinaan istana dan akan segera digunakan sebaik sahaja ia siap,” katanya di Kawasan Teras Kerajaan Pusat IKN di Nusantara kelmarin.

Lapor Antara, artis dan pereka terkenal, Bali I Nyoman Nuarta dipilih sebagai pereka istana yang akan dikelilingi oleh pokok-pokok dan bangunan dalam susunan bentuk burung Garuda sebagai simbol negara Indonesia dengan sayapnya yang terbentang.

Jokowi tidak memberikan butiran mengenai kemajuan pembinaan istana Presiden namun mengesahkan projek itu dikendalikan oleh bakat terbaik di Indonesia.

Katanya, beliau percaya IKN akan menarik pelabur kerana ia menawarkan suasana berbeza dengan menerapkan konsep bandar moden, pintar dan mesra alam.

Pembinaan ibu kota baharu itu dianggarkan siap sepenuhnya menjelang 2045 dan ketika ini, kerajaan sedang menyediakan 47 bangunan pangsapuri untuk sekitar 16,900 penjawat awam dan anggota tentera.

Di samping itu, kerajaan sedang membina jalan tol sepanjang 40 kilometer dari bandar Balikpapan di wilayah Kalimantan Timur ke kawasan IKN yang akan mengurangkan masa perjalanan sekitar 30 minit dan disasarkan siap pada penghujung 2024.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya