Jet pejuang AS tembak jatuh objek baharu berhampiran sempadan Kanada - Utusan Malaysia

Jet pejuang AS tembak jatuh objek baharu berhampiran sempadan Kanada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Jet pejuang tentera Amerika Syarikat (AS) menembak jatuh objek berbentuk oktagon di ruang udara Tasik Huron dalam kejadian terbaharu seumpamanya sejak belon pengawasan China meletakkan pasukan keselamatan Amerika Utara dalam keadaan berjaga-jaga.

Objek terbang tersebut merupakan yang keempat ditembak jatuh di Amerika Utara oleh peluru berpandu AS dalam tempoh lebih seminggu.

Jeneral Tentera Udara AS, Glen VanHerck yang ditugaskan untuk menjaga ruang udara AS memberitahu pemberita, pihak tentera tidak dapat mengenal pasti tiga objek terbaharu itu, bagaimana ia berada di ruang udara atau dari mana ia datang.

“Kami memanggil mereka objek, bukan belon atas sebab tertentu.

“Saya akan membiarkan komuniti perisikan dan komuniti perisikan balas memikirkannya,” kata VanHerck yang juga Ketua Komando Pertahanan Aeroangkasa Amerika Utara (NORAD) dan Komando Utara.

Seorang lagi pegawai pertahanan yang enggan dikenali berkata, tentera tidak melihat sebarang bukti bahawa objek itu adalah makhluk luar angkasa.

Jurucakap Pentagon, Brigadier Jeneral Patrick Ryder dalam satu kenyataan rasmi berkata, atas arahan Presiden AS, Joe Biden, jet pejuang F-16 AS menembak jatuh objek itu pada 2.42 petang waktu tempatan di atas Tasik Huron di sempadan AS dan Kanada.

Jelas Ryder, walaupun objek itu tidak menimbulkan ancaman ketenteraan, kehadirannya mungkin berpotensi mengganggu lalu lintas udara domestik kerana ia bergerak pada ketinggian 6,100 meter dan mungkin mempunyai aktiviti pengawasan.

Menurut Pentagon, objek itu dipercayai sama seperti yang dikesan di Montana berhampiran tapak tentera yang sensitif, menyebabkan penutupan ruang udara AS.

“Tentera akan cuba mendapatkan semula objek yang jatuh di permukaan Tasik Huron untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya,” kata VanHerck kepada pemberita.

Insiden itu menimbulkan persoalan mengenai beberapa objek luar biasa yang muncul di langit Amerika Utara sejak beberapa minggu lalu dan menimbulkan ketegangan dengan China.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya