JAKARTA: Dasar pelaburan kerajaan Indonesia akan kekal tertumpu kepada industri hiliran 21 komoditi untuk menarik jumlah pelaburan sebanyak AS$545.3 bilion (RM2.34 trillion) menjelang 2040.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pelaburan, Bahlil Lahadalia dalam satu mesyuarat kerja dengan Suruhanjaya VI Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, baru-baru ini.
Lapor portal Antara, Kementerian Pelaburan menyenaraikan keperluan pelaburan masa depan bagi lapan sektor keutamaan merangkumi galian, arang batu, minyak, gas asli, perladangan, marin, perikanan dan perhutanan.
Lapan sektor itu meliputi 21 komoditi antaranya arang batu, nikel, timah, tembaga, bauksit, keluli, emas, perak, asfalt, minyak, gas asli, kelapa, getah, biofuel, kayu balak, resin pain, udang, ikan, ketam, rumpai laut dan garam.
“Sekiranya kita boleh melakukannya (hiliran) dengan baik dan memberi tumpuan padanya, ia mungkin menjadi antara strategi Indonesia ke arah mencapai negara maju serta meningkatkan pendapatan per kapita daripada AS$4,500 (RM19,385) kepada AS$9,000 hingga AS$10,000 (RM38,772 hingga RM43,080),” katanya.
Di bawah dasar hiliran 2023, Indonesia akan mengharamkan eksport barang mentah bauksit, diikuti dengan larangan eksport tembaga dan timah.
Ketika ini, kerja pembinaan kilang lebur tembaga oleh PT Freeport Indonesia di Zon Ekonomi Khas (KEK) Gresik, wilayah Jawa Timur sudah mencapai kemajuan sebanyak 50 peratus.
Oleh itu, Indonesia dijangka menghentikan eksport tembaga mentah menjelang awal tahun 2024.
Menurut Bahlil, trend realisasi pelaburan meningkat dari tahun 2019 hingga 2022, dengan lebih ramai pelabur memilih untuk melabur dalam sektor hiliran berbanding sektor berintensif tenaga kerja.