Gempa Bumi Turkiye: Bapa pegang tangan anak dalam runtuhan undang emosi - Utusan Malaysia

Gempa Bumi Turkiye: Bapa pegang tangan anak dalam runtuhan undang emosi

MESUT Hancer memegang tangan mayat anak perempuannya, Imrak di bawah runtuhan bangunan di Kahramanmaras, Turkiye. - AFP  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHRAMANMARAS: Beberapa gambar menyayat hati tular di media sosial menunjukkan seorang bapa sedang memegang tangan anak perempuannya yang meninggal dunia di bawah runtuhan bangunan dalam tragedi gempa bumi di Turkiye.

Lapor The Sun, anak perempuan Mesut Hancer, Irmak yang berusia 15 tahun itu terkorban apabila rumah mereka di bandar Kahramanmaras, runtuh akibat gempa bumi dahsyat. 

Dalam gambar tersebut, Mesut dilihat sedang duduk di hadapan timbunan runtuhan bangunan itu sambil merenung ke arah kejauhan dengan pandangan kosong. 

Mesut kelihatan memegang tangan Irmak yang tidak bernyawa di bawah runtuhan konkrit yang menimpa di atas tilam tempat tidurnya semasa kejadian berlaku.

Sementara itu, Daily Mail melaporkan satu rakaman video menunjukkan detik-detik cemas seorang bayi perempuan yang baharu dilahirkan, diselamatkan dari bawah runtuhan bangunan susulan gempa bumi kuat di Syria.

Bayi perempuan dengan tali pusat masih melekat pada ibunya, ditemukan terperangkap di bawah timbunan bangunan empat tingkat yang runtuh di bandar Jenderes.

Bayi itu berjaya dikeluarkan hidup-hidup meskipun ibunya dipercayai meninggal dunia secara tragis selepas melahirkan anak di bawah runtuhan bangunan berkenaan.

Video pendek yang memaparkan usaha menyelamat itu, tular dalam media sosial.

Dalam rakaman video itu, seorang lelaki segera berlari daripada timbunan runtuhan bangunan, sambil memegang bayi perempuan dipenuhi kotoran habuk ke tempat yang selamat.

Seorang lagi lelaki berlari ke arah individu itu sambil membawa selimut untuk berusaha memanaskan bayi dilahirkan pada suhu bawah sifar.

Bayi itu kemudian dikejarkan untuk mendapatkan rawatan di bandar Afrin, manakala ahli keluarga meneruskan pencarian selama beberapa jam lagi sebelum menemukan mayat bapa bayi itu, Abdullah, ibu Afraa, empat beradik serta seorang ibu saudara.

Bayi itu merupakan satu-satunya ahli keluarga yang terselamat, sementara yang lain terbunuh susulan gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter melanda Syria serta negara jiran Turkiye hingga meranapkan rumah keluarganya di bandar Jindayris.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya