MANILA: Gempa bumi berukuran 6.1 magnitud menggegarkan bahagian tengah Filipina awal pagi tadi dengan agensi seismologi tempatan memberi amaran tentang gegaran susulan dan kemungkinan kerosakan.
Lapor Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi kuat dan cetek melanda wilayah Masbate di tengah-tengah negara kepulauan itu sejurus selepas pukul 2.00 pagi waktu tempatan, mengejutkan orang ramai yang sedang nyenyak tidur.
Menurut USGS, pusat gempa terletak kira-kira 11 kilometer dari kampung terdekat Miaga dalam perbandaran Uson di pulau utama wilayah Masbate.
Gempa bumi cetek cenderung menyebabkan lebih banyak kerosakan berbanding gempa bumi yang lebih dalam, tetapi tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan.
“Ia agak kuat. Saya sedang tidur apabila kami digoncang dan dikejutkan,” kata Ketua Polis Wilayah Masbate Rolly Albana kepada AFP.
Jabatan pendidikan Masbate dilaporkan menggantung kelas hari ini berikutan gegaran susulan berterusan yang dirasai di wilayah itu.-AFP