BUDAPEST: China dan Hungary bersedia untuk bekerjasama dengan ‘negara yang cintakan keamanan’ bagi menamatkan perang Ukraine, kata diplomat tertinggi Beijing.
Diplomat tertinggi Beijing, Wang Yi berucap di Budapest ketika ketegangan memuncak berhubung dakwaan Amerika Syarikat (AS) bahawa Beijing sedang mempertimbangkan untuk membekalkan senjata kepada Russia dalam perangnya menentang Ukraine.
Beijing telah menolak tuduhan itu.
“China dan Hungary gembira untuk bekerjasama dengan negara-negara lain yang cintakan keamanan untuk menamatkan perang semasa secepat mungkin.
“Kami ingin pihak-pihak kembali ke meja rundingan,” katanya, mengulangi seruan untuk menyokong cadangan China bagi menamatkan perang.
Menteri Luar Hungary, Peter Szijjarto berkata, beliau mengalu-alukan pendirian China yang berusaha untuk mewujudkan keamanan secepat mungkin.
Yi juga memuji ‘dasar mesra China’ kerajaan Hungary dan mengucapkan terima kasih kepada Budapest kerana “menyokong kedudukan sah China di forum antarabangsa dan pelbagai hala.
“Walaupun China dan Hungary secara geografi berjauhan, hubungan kami berkembang dengan sangat baik,” tambah Yi.
Lapor agensi berita Hungary MTI, Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban menjemput Yi ke majlis makan malam peribadi Ahad lalu.
Bantahan alam sekitar tercetus baru-baru ini berhubung loji bateri kenderaan elektrik litium ion China yang sedang dalam pembinaan di bandar kedua terbesar Hungary di Debrecen.
Orban berminat untuk memikat pengeluar asing dan mempromosikan negaranya sebagai hab global untuk bateri EV.
Yi yang melawat beberapa ibu negara Eropah sejak beberapa hari lalu dan menghadiri Persidangan Keselamatan Munich, akan menuju ke Moscow.-AFP










