Balas dendam terhadap polis punca letupan bom di masjid Peshawar  - Utusan Malaysia

Balas dendam terhadap polis punca letupan bom di masjid Peshawar 

PIHAK berkuasa menggunakan jentera berat untuk membersihkan serpihan runtuhan masjid yang musnah dalam letupan bom di Peshawar, Pakistan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PESHAWAR: Letupan bom di sebuah masjid di dalam kawasan ibu pejabat polis di Pakistan, merupakan serangan balas dendam terhadap pihak berkuasa.   

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua polis Peshawar, Muhammad Ijaz Khan ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa berakhir, dengan angka kematian kini berjumlah 100 orang.

Letupan oleh pengebom berani mati itu berlaku ketika kira-kira 300 hingga 400 anggota polis berkumpul untuk menunaikan solat asar di masjid terletak di Peshawar pada Isnin lalu.

“Kami berada di barisan hadapan sedang mengambil tindakan terhadap militan dan itulah sebabnya kami menjadi sasaran.

“Tujuannya adalah untuk melemahkan semangat kami,” katanya.

Semalam, pasukan penyelamat menamatkan siri operasi yang menyaksikan para anggota berusaha mencari mangsa hidup dan menemukan banyak mayat di bawah runtuhan masjid yang musnah dalam letupan itu. 

Dilaporkan, kira-kira 150 orang cedera dalam letupan bom di masjid itu.

Serangan kumpulan bersenjata menyasarkan pusat pemeriksaan keselamatan, semakin meningkat di kawasan berhampiran Peshawar yang bersempadan dengan Afghanistan sejak Taliban menguasai Kabul pada Ogos 2021.

Serangan itu kebanyakannya dipercayai dilakukan oleh Taliban Pakistan, serta bahagian tempatan pertubuhan itu, namun serangan secara beramai-ramai masih jarang berlaku.

Sementara itu, ketua pasukan polis wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Moazzam Jah Ansari berkata, seorang suspek pengebom berani mati didapati memasuki masjid sebagai tetamu dengan membawa kira-kira 10 hingga 12 kilogram (kg) bahan letupan.

Katanya, kumpulan yang bersekutu dengan Taliban Pakistan mungkin berada disebalik serangan itu.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Pakistan, Rana Sanaullah dalam sidang dewan rakyat memaklumkan angka korban membabitkan 97 anggota polis dan tiga orang awam, manakala 27 orang lagi masih dalam keadaan kritikal.    

Katanya, pihak berkuasa sedang menyiasat bagaimana pelanggaran keselamatan berlaku di salah satu kawasan dikawal ketat di bandar itu yang menempatkan biro risikan dan membanteras keganasan serta bersebelahan dengan sekretariat wilayah. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya