MPM tangkap anjing kejar budak hingga kemalangan jalan raya - Utusan Malaysia

MPM tangkap anjing kejar budak hingga kemalangan jalan raya

TANGKAP layar sebuah kereta mengelak daripada melanggar seorang kanak-kanak yang dikejar anjing. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menangkap tiga ekor anjing termasuk seekor berwarna putih yang mengejar kanak-kanak sehingga terlibat kemalangan jalan raya dan tular dalam media sosial semalam.

Menurut Unit Haiwan Merayau Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MPM, tangkapan itu dilakukan pada pukul 11 pagi semalam selepas menerima aduan mengenai kejadian tersebut.

“Anjing tersebut mempunyai pemilik dan pihak MPM mengambil tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (Majlis Daerah Manjung) 1993,” katanya di sini hari ini.

Semalam, tular video yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki hampir digilis sebuah kereta ketika melarikan diri dikejar anjing dalam kejadian di Jalan Haji Mohamad Ali dekat Sitiawan, pagi semalam.

Video tular berdurasi 20 saat itu memaparkan dua kanak-kanak yang panik melarikan diri selepas dikejar seekor anjing berwarna putih.

Kejadian pada pukul 8.54 pagi itu menunjukkan kanak-kanak itu terlanggar sebuah kereta Myvi dan terjatuh menyebabkan sebuah kereta Proton Wira yang berada di lorong kanan sempat mengelak hingga menaiki atas pembahagi jalan.

Kanak-kanak itu selamat dan dilaporkan mengalami kecederaan ringan.

Menurut MPM, berdasarkan semakan dan siasatan, anjing tersebut berlesen dan pemilik, justeru pihaknya menyita tiga ekor anjing termasuk anjing tersebut kerana pelanggaran syarat dan peraturan.

Jelasnya, pelanggaran itu ialah pemilik gagal mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk memastikan bahawa anjing itu, tidak menjadi gangguan kepada jiran-jirannya, disebabkan oleh salakan yang tidak berhenti-henti atau selainnya.

Pada masa sama, pemilik tidak mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk memastikan bahawa anjing itu tidak merayau di luar kawasan premis pemiliknya dan bahawa anjing itu berikat tali apabila dibawa keluar daripada premis pemiliknya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

“Satu laporan dibuat setelah video tersebut tular di media sosial dan aduan tersebut disalurkan kepada MPM untuk diambil tindakan,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN